KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MoT) akan membentangkan pelan komprehensif bagi menambah baik kawalan di pintu masuk negara kepada Jemaah Menteri esok.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelan itu akan dibentangkan bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada mesyuarat Kabinet selepas disiapkan dalam tempoh dua minggu.
Kata beliau, pembentangan pelan itu susulan arahan kerajaan untuk memperkukuh kawalan keselamatan di pintu masuk negara dengan melibatkan penyelarasan pelbagai agensi berkaitan.
“Insya-Allah, esok saya akan bentangkan secara bersama dengan rakan saya Menteri Pengangkutan kerana ia (pelan komprehensif), ada elemen di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan KDN di Putrajaya hari ini.
Saifuddin berkata, pelan berkenaan mengambil kira keperluan untuk memperkukuh penyelarasan antara pelbagai agensi supaya tiada lagi pendekatan bekerja secara bersendirian atau `in silo’ dalam mengawal pintu masuk negara.
Tambahnya, antara aspek diteliti termasuk penambahbaikan kompetensi sumber manusia, keperluan infrastruktur, sistem kamera litar tertutup (CCTV), mesin pengimbas serta latihan bagi petugas yang mengendalikan mesin berkenaan.
“Kita nak tengok aspek mana yang boleh kita tambah baik, apakah dari sudut keperluan infra, CCTV, mesin imbas atau latihan tentang orang yang mengawasi mesin imbas. Semua sekali kita akan tengok,” kata beliau.
Isu kawalan keselamatan lapangan terbang mendapat perhatian susulan beberapa kes membabitkan rakyat Malaysia kebelakangan ini, termasuk penahanan seorang juruterbang Malaysia selepas kira-kira 25 kilogram dadah jenis MDMA dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta baru-baru ini.
Susulan itu, Jemaah Menteri dilapor mengarahkan KDN dan MoT mengemukakan pelan komprehensif bagi menambah baik kawalan keselamatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam tempoh dua minggu.
Arahan itu susulan kebimbangan kerajaan terhadap insiden terbaharu yang boleh menjejaskan imej negara selain menimbulkan persepsi bahawa wujud kelemahan dalam sistem kawalan keselamatan di premis berkenaan.
Mengulas lanjut, Saifuddin memberitahu, pelan itu dirangka dengan menggabungkan pengetahuan, pengalaman dan kepakaran pelbagai agensi di bawah KDN, MoT serta agensi berkaitan lain.
Beliau berkata, langkah berkenaan penting bagi memastikan kelemahan di pintu masuk negara dapat dikenal pasti dan diperbaiki secara menyeluruh, selain mengelakkan insiden yang boleh menjejaskan imej negara daripada berulang.
“Saya hargai usaha (KDN) ini menghasilkan satu pelan yang akan memberikan kesan kepada kawalan pintu masuk agar tidak lagi berulang insiden (seludup dadah),” katanya.
Mengenai siasatan terhadap kes juruterbang terbabit, Saifuddin memberitahu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapat kerjasama baik daripada pihak berkuasa Indonesia dan telah mendapatkan keterangan suspek untuk tindakan lanjut.
“Daripada maklumat yang kita peroleh itu membantu kita untuk mengesan apakah ia satu rangkaian sindiket antarabangsa atau tindakan tersendiri dan sebagainya.
“Ia juga memberi peluang kepada kita untuk mengesan di mana kelemahan atau kekurangan di pintu keluar atau pintu masuk negara kita,” katanya.





