Pelajar cemerlang STPM: Mara bantu Lovely Sabana sambung pengajian di UPSI

MAJLIS Amanah Rakyat (Mara) menerusi Yayasan Pelajaran Mara sedang berusaha membantu pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Lovely Sabana Augustine untuk menyambung pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), bulan depan.

Lovely Sabana yang mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 itu tular dalam media sosial sejak kelmarin tentang situasi dihadapi keluarga pelajar itu yang berdepan masalah kewangan untuk menyambung pengajian ke universiti.

LOVELY Sabana Augustine bersama ibu, Mek Kenui (dua dari kiri) dan ahli keluarga mereka di Kampung Cenderung Teluk Jering, Tumpat. GAMBAR: Facebook pembaca

Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ramai yang memaklumkan kepadanya berhubung kisah Lovely Sabana iaitu anak keturunan Kadazan-Siam dari Kampung Cenderung Teluk Jering, Tumpat yang ditawarkan ke UPSI dalam bidang Pendidikan Moral, namun berdepan masalah kewangan.

“Adik Lovely datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan. Ibunya, Mek Kenui bekerja sebagai tukang cuci sekolah dan bekerja sambilan sebagai anggota Rela menjaga masjid pada hari Jumaat dengan pendapatan sekitar RM800 sebulan.

“Apa yang lebih membanggakan beliau mendapat PNGK 4.0 dalam STPM walaupun hidup dalam serba kekurangan. Bapanya meninggal dunia ketika Lovely baru berusia lima tahun.

“Saya sudah menghubungi Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff untuk membantu dan Alhamdulillah pihak UPSI bersetuju memberikan pelepasan khas berkaitan yuran bagi membantu meringankan beban adik Lovely.

“Insya-Allah, Mara melalui Yayasan Pelajaran Mara akan membantu RM1,000 sebagai wang persiapan. Saya juga turut menghulurkan sedikit sumbangan peribadi,” katanya dalam hantaran video panggilan telefon beliau dan Lovely Sabana di Facebook hari ini.

DATUK Dr Asyraf Wajdi Dusuki

Beliau turut berharap sumbangan yang disalurkan itu menjadi pembuka jalan untuk pelajar berkenaan memulakan langkah sebagai mahasiswa dan mengejar cita-cita untuk menjadi seorang pendidik serta dalam merubah kehidupan keluarga apabila berjaya nanti.

Terdahulu, tular dalam media sosial mengenai kisah Lovely Sabana yang memerlukan sejumlah wang untuk pembayaran pendaftaran di UPSI pada 12 September depan.

Selain berdepan masalah kewangan, pelajar cemerlang yang kematian bapa itu turut memerlukan komputer riba dan kelengkapan lain untuk persiapan memulakan kehidupan sebagai mahasiswa.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here