POLIS mengesahkan menerima laporan kejadian seorang pelajar lelaki tingkatan tiga mendakwa menjadi mangsa buli sehingga berisiko hilang pendengaran di sebuah sekolah menengah di Shah Alam, minggu lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata suspek berusia 17 tahun telah ditahan dan dibebaskan dengan jaminan polis sementara pihaknya melengkapkan siasatan.
“Siasatan masih berjalan dan kejadian dipercayai berpunca daripada ejek-mengejek antara rakan sekolah,” katanya pada sidang media kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor di Shah Alam hari ini.
Shazeli bagaimanapun tidak mengulas kecederaan dialami mangsa kerana perlu menunggu laporan rasmi pegawai perubatan.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Semalam, media melaporkan seorang pelajar berusia 15 tahun didakwa cedera pada leher dan tengkuk serta berisiko kehilangan pendengaran kerana dipukul di sebuah sekolah menengah.
Kejadian itu turut didakwa menyebabkan pelajar tersebut mengalami trauma serius sehingga banyak berkurung di dalam bilik, kurang selera makan dan enggan bercakap.





