PENGORBANAN seorang pekerja pembersihan M. Kavita yang lebih 12 tahun meredah panas dan hujan demi membesarkan lima anaknya, menyentuh hati Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata segala penat lelah dan pengorbanan Kavita akhirnya terbalas apabila kelima-lima anaknya berjaya dalam bidang masing-masing.
“Semoga saudari Kavita dan seluruh warga pekerja pembersihan terus diberikan kekuatan, kesihatan dan penghormatan yang selayaknya. Terima kasih atas segala bakti dan keringat dalam menjaga kebersihan serta kesejahteraan kita semua,” kata Anwar.
Perdana Menteri berkata pengorbanan Kavita turut dihargai menerusi Anugerah Khas pada Majlis Apresiasi Hari Pekerja Pembersihan 2026 anjuran SWCorp, semalam.
Sebelum ini, kisah Kavita tular di media sosial apabila anak-anaknya memberikan kejutan ketika dia sedang bekerja sempena sambutan ulang tahun kelahirannya ke-50.
Lebih menyentuh hati apabila anaknya hadir dengan mengenakan uniform pekerjaan masing-masing, antaranya juruterbang dan jururawat, menyebabkan Kavita menangis kegembiraan menerima kejutan tersebut





