Undang-undang baharu ganti AUKU tumpu pentadbiran universiti

UNDANG-undang baharu yang menggantikan aspek tertentu dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 akan memberi tumpuan kepada pentadbiran dan pengurusan universiti serta kolej universiti, kata jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan perkara itu kepada Jemaah Menteri, susulan pengumumannya mengenai cadangan pemansuhan AUKU pada Ahad lepas.

“Perdana Menteri telah menegaskan bahawa ada beberapa perkara walaupun sekiranya perlu diwujudkan atau digubal satu rangka undang-undang baharu untuk menyelaraskan aspek-aspek pentadbiran dan pengurusan bagi universiti dan kolej universiti.

“.. Namun aspek-aspek melibatkan pelajar dan mahasiswa tidak harus terkandung dalam undang-undang tersebut memandangkan undang-undang sedia ada, sama ada undang-undang yang melibatkan polis dan sebagainya adalah terpakai,” katanya pada sidang media mingguan pascamesyuarat Kabinet di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memaklumkan bahawa antara aspek yang perlu diuruskan adalah melibatkan pentadbiran universiti dan kolej universiti sebagai institusi pendidikan tinggi.

“Jadi ini yang akan diberikan keutamaan dalam sebarang rangka undang-undang menggantikan aspek-aspek tertentu yang terkandung waktu ini dalam AUKU,” katanya.

Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata kerajaan memberi jaminan AUKU akan dimansuhkan sepenuhnya tanpa pengenalan undang-undang baharu yang bersifat mengongkong atau menekan gerakan mahasiswa.

AUKU melalui tujuh siri pindaan sejak diperkenalkan pada 1971, termasuk pindaan pada 2012 yang membenarkan mahasiswa menyertai aktiviti parti politik di luar kampus.

Pindaan terbaharu pada 2024 menyaksikan tindakan tatatertib terhadap pelajar di universiti awam tidak lagi tertakluk pada kuasa Naib Canselor, sebaliknya diputuskan Jawatankuasa Tatatertib Pelajar menerusi pindaan Seksyen 16B AUKU.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here