Kertas siasatan nahas tiga maut dirempuh lori Imigresen dibawa ke AGC esok

KERTAS siasatan kemalangan maut membabitkan lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang merempuh empat pejalan kaki di persimpangan lampu isyarat di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur awal pagi ini akan dibawa ke Jabatan Peguam Negara esok untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kedua-dua pemandu lori Imigresen dan Proton Saga terbabit dibawa untuk permohonan reman dan hanya dibenarkan direman selama satu hari.

Menurutnya, pada jam 2.45 petang ini, perbincangan dibuat dengan pihak pendakwaan selepas meneliti kertas siasatan.

“Pihak pendakwaan kemudian mencadangkan supaya kertas siasatan berkenaan dirujuk kepada Ketua Unit Bahagian Jenayah Am dan Ketenteraman Awam, Jabatan Peguam Negara Putrajaya.

“Kertas siasatan berkenaan akan dibawa sendiri oleh Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) bersama pegawai penyiasat ke Putrajaya pada jam 8 pagi esok bagi tujuan sebarang pertuduhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Zamzuri, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Media hari ini melaporkan tiga sekeluarga maut selepas dilanggar lori Jabatan Imigresen Malaysia yang terbabas di persimpangan lampu isyarat Maju Junction di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur awal pagi tadi.

Mereka yang maut dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu ialah Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12, manakala isteri mangsa, Norhayati Razali, 55, cedera parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here