SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu baru-baru ini menganjurkan Program Pemerkasaan Antirasuah, Ketelusan, Sahsiah dan Integriti (PAKSI) dalam meneruskan agenda memperkukuh serta meningkatkan kesedaran dan advokasi antirasuah dalam sektor pembinaan.
Program sehari itu dihadiri para pegawai daripada agensi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Negeri Terengganu, CIDB Technologies Sdn. Bhd. (CIDBTech), ABM Wilayah Timur, Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia, Persatuan Kontraktor Melayu Bumiputera, Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia serta komuniti setempat itu diadakan di Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Timur di Hulu Terengganu.

Program yang dianjurkan secara bersama antara SPRM Terengganu dengan CIDB Terengganu, CIDB CIDBTech dan ABM Wilayah Timur itu turut dilaksanakan secara hibrid dengan sebahagian peserta hadir secara bersemuka manakala sebahagian lagi mengikuti secara dalam talian.
Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid berkata, penglibatan persatuan dan komuniti dalam program itu amat penting sebagai usaha memperluaskan lagi penyampaian mesej antirasuah serta memperkukuhkan peranan key communicator dalam menyemai budaya integriti dalam sektor pembinaan.
“Sepanjang program berlangsung, antara pengisian utama ialah ceramah integriti bertajuk ‘Sepandai-pandai Sang Tupai… Akhirnya Jatuh Jua’.
“Bukan itu sahaja, kami turut menampilkan perkongsian berkaitan pengalaman, pengajaran daripada kes rasuah serta hukuman yang dikenakan kepada peserta,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Sebagai platform interaksi dua hala, program tersebut turut mengadakan Sesi Bicara Antirasuah bersama Ketua Pencegahan SPRM Terengganu, Zainal Ayop.
Sesi yang berlangsung dalam suasana santai dan terbuka itu memberi ruang kepada para peserta untuk berkongsi pandangan serta mengemukakan persoalan berkaitan isu rasuah, integriti dan cabaran membudayakan nilai antirasuah dalam sektor pembinaan.
Dalam pada itu, sebagai manifestasi komitmen bersama dalam menolak rasuah, warga CIDB turut melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai aku janji untuk menolak dan menjauhi sebarang bentuk perbuatan rasuah.
Inisiatif berkenaan selaras dengan nilai Keep Malaysia Clean (KMC) yang menekankan kepentingan membudayakan ketelusan, integriti dan penolakan terhadap rasuah melalui advokasi antirasuah secara berterusan.
Kerjasama strategik antara SPRM, CIDB, persatuan kontraktor dan komuniti tersebut diharap dapat memperkukuh jaringan advokasi antirasuah serta menyumbang kepada pembentukan persekitaran sektor pembinaan yang lebih berintegriti, telus dan bebas rasuah.





