Jenazah tiga beranak mangsa tragedi lori Imigresen selamat dikebumi satu liang lahad

JENAZAH tiga beranak yang maut dalam kemalangan dirempuh sebuah lori Jabatan Imigresen Malaysia di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur awal pagi ini selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Hitam Labu di Kampar, malam ini.

Suasana pilu dan sebak menyelubungi majlis pengebumian itu apabila jenazah Allahyarham Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, bekas tentera bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12, selamat dikebumikan kira-kira jam 11 malam.

Bacaan talkin dan doa dipimpin Imam Masjid Jamek Kampung Air Hitam Labu, Yusaini Ariffin.

Tiga van jenazah yang membawa Allahyarham tiba kira-kira jam 10.30 malam sebaik proses bedah siasat selesai di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur.

Terdahulu, semua jenazah disembahyangkan di Masjid Jamiul Ehsan, Jalan Pahang, Kuala Lumpur.

Kehadiran van jenazah milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sentuhan Setia Kasih itu disambut dengan linangan air mata ahli keluarga yang tidak dapat menahan sebak sebaik melihat ketibaan insan tersayang buat kali terakhir.

Sekitar 300 penduduk kampung dan kenalan yang hadir menunggu sehingga selesai proses pengebumian sebagai tanda penghormatan terakhir.

Tragedi yang menimpa tiga beranak itu sebelum ini mendapat perhatian ramai dan mengundang rasa simpati masyarakat di seluruh negara.

Dalam kejadian menyayat hati kira-kira jam 1 pagi tadi, empat sekeluarga yang difahamkan sedang bercuti di ibu negara, dirempuh lori `Black Maria’ JIM ketika melintas jalan.

Isteri Allahyarham Shaik Mohd Firdaus iaitu Norhayati Razali, 55, cedera parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori JIM tanpa muatan yang dalam perjalanan menuju ke Chow Kit bagi operasi pendatang tanpa izin, memasuki persimpangan ketika lampu isyarat berwarna merah, dengan lampu suar (beacon) dan siren diaktifkan.

Kenderaan rasmi itu kemudiannya bertembung dengan sebuah kereta Proton Saga yang bergerak lurus ketika lampu isyarat hijau, menyebabkan lori berkenaan hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh keluarga tersebut serta sebuah kereta Inokom Matrix.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here