JIM Johor tahan 78 warga asing dalam serbuan premis sekitar Pengerang

SERAMAI 78 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dalam serbuan di beberapa premis sekitar Pengerang, di Johor Bahru, kelmarin.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi yang dijalankan kira-kira jam 11 pagi itu menahan 71 lelaki dan tujuh wanita warga asing berusia antara 20 hingga 50 tahun.

Menurutnya, tahanan lelaki terdiri daripada 30 warga Indonesia, 24 Pakistan, 10 Bangladesh, enam Myanmar dan seorang India.

“Bagi tahanan wanita pula, enam adalah warga Indonesia manakala seorang lagi warga Myanmar.

“Mereka ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mohd Rusdi berkata, operasi berkenaan turut menyaksikan lapan keping Borang 29 iaitu saman kepada saksi dikeluarkan sepanjang operasi.

Menurutnya, operasi itu dijalankan bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bagi mengenal pasti premis yang menggaji atau menempatkan warga asing tanpa mematuhi syarat imigresen.

“Premis-premis yang dipercayai menggaji atau dikendalikan warga asing yang menyalahi undang-undang diperiksa secara menyeluruh.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat individu yang melakukan kesalahan seperti menyalahgunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), tinggal lebih masa dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Beliau berkata, kesemua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Setia Tropika untuk tindakan lanjut.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here