PEGUAM yang mewakili lelaki berusia 24 tahun dalam kes kekecohan ketika operasi penangkapan anjing liar baru-baru ini meminta orang ramai tidak memesongkan fakta kes dengan mendakwa anak guamnya membunuh atau menyeksa haiwan berkenaan.
Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali, berkata pertuduhan terhadap anak guamnya, Muhammad Shah Idham Nor Haikal Shaharom, yang dibacakan di Mahkamah Sesyen Klang, hari ini hanya menyatakan dia didakwa secara tidak munasabah menjerut seekor anjing jantan menggunakan peralatan gelung tali sehingga menyebabkan kesakitan.
Beliau berkata, tiada perkataan membunuh, menyeksa atau memukul dengan kuat sehingga menyebabkan kematian dinyatakan dalam kertas pertuduhan.
“Tolong beritahu saya, mana perkataan ‘membunuh’? Mana perkataan ‘seksa’? Mana perkataan ‘pukul’ atau ‘memukul dengan kuat sehingga menyebabkan kematian’?
“Kepada mereka yang selama ini melabelkan Shah sebagai seorang yang kejam, membunuh dan sebagainya, ini adalah peluang terbuka untuk anda memohon maaf kepada seorang pemuda yang baru berusia 24 tahun,” katanya ketika ditemui media di luar perkarangan Mahkamah Sesyen Klang, hari ini.
Muhammad Rafique turut memohon pihak media dan netizen supaya tidak membuat spekulasi atau mereka-reka cerita yang tidak terdapat dalam kertas pertuduhan.
Terdahulu, Muhammad Shah dan pemilik anjing bernama Rocky, S Roghini Devi, 42, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mujib Saroji.
Mengikut pertuduhan, Roghini Devi didakwa secara tidak munasabah menarik, manakala Muhammad Shah dituduh menjerut seekor anjing jantan menggunakan peralatan gelung tali sehingga menyebabkan kesakitan terhadap haiwan itu.
Kedua-dua perbuatan itu didakwa berlaku di sebuah rumah di Jalan Sama Gagah, Taman Telok Gedung Indah, Pelabuhan Klang, antara jam 11 hingga 11.30 malam pada 29 Julai lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama yang memperuntukkan denda antara RM20,000 hingga RM100,000, penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mengulas lanjut, Muhammad Rafique turut memperbetulkan tanggapan awam mengenai status anak guamnya dengan menjelaskan bahawa Muhammad Shah bukan kakitangan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), sebaliknya bertindak sebagai seorang sukarelawan.
Beliau turut menyokong kenyataan Ketua Polis Selangor supaya semua pihak tidak membesarkan isu berkenaan atau membuat spekulasi liar mengenai baka anjing terbabit.
“Shah telah tidak mengaku bersalah, memohon untuk dibicarakan dan dibenarkan diikat jamin RM6,000. Beliau akan hadir ke mahkamah untuk mempertahankan dirinya.
“Selain itu, wanita yang mendakwa sebagai pemilik anjing berkenaan turut berdepan dua pertuduhan, satu di Mahkamah Sesyen yang akan dibicarakan bersama kes anak guam saya dan satu lagi di Mahkamah Majistret,” katanya.





