PEMANDU lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang terbabit dalam kemalangan maut di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Tertuduh, Mohd Akbar Zainol, 43, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aliaa Anwar di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Jalan Duta, hari ini.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM60,000 bagi kelima-lima pertuduhan dan menetapkan 27 Oktober depan untuk sebutan semula kes.
Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali sebulan, selain lesen memandu dan pasportnya digantung sehingga kes selesai.
Mengikut pertuduhan, Mohd Akbar didakwa memandu sebuah lori jenis Isuzu Black Maria milik JIM secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, selain satu pertuduhan gagal mematuhi lampu isyarat.
Dalam prosiding itu, peguam Izzat Amir Saharudin memaklumkan bahawa anak guamnya telah berkhidmat dengan JIM selama 11 tahun dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Mahkamah turut dimaklumkan bahawa tertuduh mempunyai seorang anak yang masih bersekolah selain menanggung ibunya yang sudah berusia dan uzur di Kedah.
Kemalangan berkenaan mengorbankan tiga sekeluarga iaitu Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12.
Ketiga-tiga mangsa yang sedang berjalan kaki maut di tempat kejadian selepas dipercayai dilanggar lori milik JIM yang terbabas dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan dan empat pejalan kaki, kira-kira jam 1 pagi Rabu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, lori Isuzu Black Maria tanpa muatan itu dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit ketika kejadian.





