Kempen Kesedaran penipuan dalam talian perlu diperluas ke akar umbi – Fahmi

 USAHA meningkatkan kesedaran mengenai penipuan dalam taliau atau scam tidak seharusnya tertumpu kepada program berskala besar di bandar, sebaliknya perlu dibawa kepada peringkat akar umbi menerusi penglibatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), persatuan penduduk dan Rukun Tetangga.

Sehubungan itu, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Kempen Kesedaran mengenai penipuan dalam talian atau scam perlu diperkasakan serta diperluas sehingga ke kawasan terpencil bagi melindungi komuniti luar bandar daripada ancaman siber yang semakin meningkat susulan capaian Internet yang meluas.

Beliau berkata pendekatan itu penting bagi memberikan pendedahan secara terus kepada masyarakat, termasuk perkongsian kisah benar daripada mangsa penipuan dalam talian.

“Bukan semua yang dapat datang ke hotel sertai forum atau kempen kesedaran, jadi kita kena bawa program ini ke balai-balai raya, dan kampung-kampung.

“Bila kita sediakan Internet sampai ke kampung-kampung yang terpencil, maksudnya scammer pun dah boleh pergi ke kampung-kampung terpencil tanpa meninggalkan tempat kerja mereka, ini cabaran kita,” katanya ketika berucap pada pelancaran Program Nasional Kesedaran Anti-Scam 2026 di Petaling Jaya, hari ini.

Fahmi berkata bagi tempoh 1 Jan hingga semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memohon penurunan sebanyak 476,516 kandungan dalam talian yang melibatkan pelbagai kategori kesalahan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 302,139 ialah kandungan berkaitan perjudian dalam talian, manakala 128,312 lagi kandungan berunsur penipuan.

Beliau berkata Facebook mencatatkan jumlah tertinggi kandungan penipuan yang diminta diturunkan, iaitu sebanyak 67,115 kandungan atau 52 peratus, diikuti TikTok dengan 50,642 kandungan.

Fahmi berkata platform media sosial mempunyai peranan serta kewajipan untuk memastikan perkhidmatan mereka tidak disalahgunakan bagi kegiatan jenayah penipuan atau judi dalam talian.

Sehubungan  itu, beliau memberikan amaran keras bahawa menerusi kerangka perundangan keselamatan dalam talian negara, mana-mana platform yang gagal memastikan keselamatan penggunanya boleh berdepan tindakan denda hingga RM10 juta di mahkamah.

Dalam pada itu, Fahmi mengingatkan mangsa penipuan supaya segera menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997, yang kini berfungsi setaraf dengan laporan polis.

Beliau berkata tindakan pantas, khususnya dalam tempoh 15 hingga 30 minit selepas kejadian adalah  penting bagi meningkatkan peluang pihak berkuasa menyekat pemindahan wang dan mengembalikannya kepada mangsa.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here