Kerajaan negeri perlu perkasa industri REE, pastikan pelabur bawa, kongsi teknologi – Johari

KERAJAAN negeri perlu memainkan peranan penting dalam pembangunan industri unsur nadir bumi (REE), dengan memastikan sumber mineral itu dibangunkan melalui rantaian nilai lengkap daripada peringkat huluan hingga hiliran.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan negeri tidak sekadar menjadi pengeluar dan pengeksport bahan mentah, sebaliknya memperoleh manfaat lebih besar melalui aktiviti pemprosesan serta pembangunan industri berasaskan REE.

Menurut beliau, perkara utama yang perlu diberi perhatian kerajaan negeri adalah memastikan pelabur yang dipilih bukan sahaja mempunyai kepentingan untuk meneroka sumber REE, tetapi turut membawa teknologi dan bersedia berkongsi kepakaran bagi membangunkan keupayaan tempatan.

“Komitmen daripada pelabur yang datang nak bekerjasama dalam REE ini mestilah bawa teknologi dia, kongsi dengan kita, dan kemudian dia terlibat secara langsung daripada upstream, midstream dan downstream.”

“Kalau tidak, kita carilah yang orang boleh buat, yang sanggup memberi komitmen dan berkongsi teknologi dengan kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis Invest Perak Day di Ipoh hari ini, lapor Buletin TV3.

Johari memberitahu, MITI akan memberi tumpuan kepada pembangunan sektor pertengahan dan hiliran, manakala aspek huluan memerlukan penyelarasan bersama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

Menurutnya, kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan negeri penting bagi memastikan setiap pelabur yang berminat dalam industri REE memenuhi keperluan dari segi teknologi, peraturan, perundangan serta perlindungan harta intelek.

“Bila pelabur datang nak sentuh subjek ini, kita akan perkenalkan pihak-pihak yang dah tersedia di sana. Dari situ kita akan belajar dari segi apakah perkara yang perlu kita ubah, dari segi peraturan, dari segi undang-undang, dari segi ketersediaan teknologi,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau berkata, kerajaan perlu memberi perhatian terhadap perlindungan paten dan rahsia dagangan pelabur bagi mewujudkan keyakinan kepada syarikat berteknologi tinggi untuk membawa kepakaran mereka ke Malaysia.

Menurutnya, pendekatan itu amat penting kerana nilai sebenar REE hanya dapat dimanfaatkan sepenuhnya sekiranya Malaysia mempunyai rakan teknologi yang mampu membangunkan aktiviti pemprosesan dan industri hiliran.

Johari memaklumkan, kerajaan juga tidak menetapkan tempoh tertentu bagi pembangunan industri pertengahan REE kerana bergantung kepada kesediaan pelabur yang mempunyai teknologi dan bersedia berkongsi kepakaran.

Jelasnya, REE antara mineral kritikal yang penting dalam pembangunan pelbagai teknologi moden termasuk semikonduktor, kenderaan elektrik, tenaga boleh baharu, telekomunikasi dan industri pertahanan.

Dalam pada itu, beliau berkata, Perak mempunyai potensi besar untuk menjadi negeri peneraju dalam pembangunan industri REE, kerana negeri itu sudah mempunyai aktiviti di peringkat huluan.

Beliau memaklumkan, pengalaman Perak boleh menjadi asas pembelajaran kepada negeri-negeri lain yang turut mempunyai potensi sumber REE.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here