MCMC perkukuh usaha tangani vandalisme, kecurian infrastruktur telco di Sabah

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkukuh kerjasama strategik dengan pelbagai agensi di Sabah bagi memutuskan rantaian kegiatan vandalisme dan kecurian infrastruktur telekomunikasi, daripada kejadian di tapak sehingga ke saluran penjualan komponen yang dicuri.

Menurut suruhanjaya itu, kerjasama itu melibatkan kerajaan negeri Sabah, agensi penguatkuasaan, pihak berkuasa tempatan, agensi utiliti dan industri berkaitan di seluruh Sabah.

Katanya, pendekatan ini penting kerana vandalisme telekomunikasi bukan sekadar menyebabkan kerosakan aset, malah boleh mengganggu perkhidmatan yang menjadi keperluan harian rakyat termasuk komunikasi, pendidikan, perniagaan, penyampaian perkhidmatan kerajaan serta komunikasi ketika kecemasan.

DATUK James Ratib (bertopi) melawat reruai pameran selepas merasmikan Program Taklimat “Memutuskan Rantaian Vandalisme Infrastruktur Telekomunikasi: Dari Tapak ke Pasaran” anjuran MCMC. GAMBAR: MCMC

“Kos pemulihan turut menyebabkan sumber yang sepatutnya digunakan untuk memperluaskan liputan dan meningkatkan kualiti rangkaian terpaksa disalurkan bagi membaiki atau menggantikan infrastruktur yang rosak.

“Bagi tempoh 2025 hingga Jun 2026, sebanyak 1,191 insiden gangguan perkhidmatan telekomunikasi direkodkan di Sabah melibatkan 257 tapak telekomunikasi di 23 daerah, dengan anggaran kerugian sebanyak RM17.3 juta akibat vandalisme, kerosakan dan kecurian komponen,” kata MCMC dalam kenyataan hari ini.

FORUM “Memutuskan Rantaian Vandalisme Infrastruktur Telekomunikasi: Dari Tapak ke Pasaran” anjuran MCMC. GAMBAR: MCMC

Tambah MCMC, gangguan ini bukan sahaja menjejaskan capaian komunikasi penduduk setempat, malah boleh mengganggu akses kepada perkhidmatan digital, pembelajaran dalam talian dan urusan harian yang bergantung kepada sambungan telekomunikasi yang stabil.

Sehubungan dengan itu, tambahnya, usaha membanteras kegiatan tersebut perlu melangkaui tindakan di lokasi kejadian dengan memberi tumpuan kepada perkongsian maklumat dan risikan, pemantauan lokasi berisiko, pengesanan modus operandi serta rangkaian jual beli komponen yang disyaki diperoleh secara tidak sah.

Dari sudut perundangan, kata MCMC, Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan bahawa perbuatan mengusik, mengalihkan, memusnahkan atau merosakkan kemudahan rangkaian atau mana-mana bahagiannya merupakan suatu kesalahan.

Jika sabit kesalahan, pelaku boleh didenda sehingga RM500,000 atau dipenjarakan sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

MCMC memaklumkan, usaha tersebut turut diperkukuh menerusi Program Taklimat “Memutuskan Rantaian Vandalisme Infrastruktur Telekomunikasi: Dari Tapak ke Pasaran” yang dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib.

Program berkenaan menghimpunkan pihak berkepentingan bagi berkongsi maklumat mengenai modus operandi kecurian, teknologi keselamatan, amalan terbaik serta pendekatan penguatkuasaan dalam melindungi infrastruktur telekomunikasi.

“MCMC akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri Sabah, agensi penguatkuasaan, pihak berkuasa tempatan, industri dan masyarakat bagi memperkukuh perlindungan infrastruktur telekomunikasi sebagai aset strategik negara.

“Memutuskan rantaian kegiatan vandalisme dan kecurian dari tapak hingga ke pasaran adalah penting bagi memastikan rangkaian komunikasi kekal berfungsi, pelaburan pembangunan dapat dimanfaatkan secara optimum dan rakyat Sabah terus menikmati perkhidmatan telekomunikasi yang berkualiti serta boleh dipercayai,” katanya lagi.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here