Peninsular Safari Challenge 2026 Johor di Felda Redong 1, Segamat 21-23 Ogos

SEGAMAT bakal menjadi tumpuan komuniti sukan pacuan empat roda apabila Peninsular Safari Challenge 2026 Johor (Zon Selatan) berlangsung selama tiga hari dari 21 hingga 23 Ogos ini di Felda Redong 1, Segamat.

Acara lasak itu dianjurkan Persatuan Pacuan Empat Roda Negeri Johor dan dijangka menghimpunkan kira-kira 100 peserta dari Johor dan negeri-negeri lain bagi merebut tempat dalam tiga kategori pertandingan iaitu Medium Core Open, Litecore Supernovis – Short Wheel Base (SWB) dan Litecore SupernovisLong Wheel Base (LWB).

ATAN Aris

Penganjur, Presiden Persatuan Pacuan Empat Roda Negeri Johor, Atan Aris berkata, Peninsular Safari Challenge bukan sekadar menguji kemampuan dan ketahanan jentera, malah turut menuntut kemahiran, strategi serta semangat berpasukan dalam kalangan peserta.

“Acara ini menampilkan beberapa Special Stage (SS) yang menawarkan pelbagai bentuk cabaran, sekali gus menguji keupayaan jentera serta kemahiran teknikal, strategi, ketepatan dan kerjasama berpasukan peserta dalam menakluki setiap laluan yang disediakan.

“Kami berharap penganjuran ini dapat memberikan pengalaman pertandingan yang mencabar kepada peserta, di samping memperkukuh semangat kesukanan dan hubungan dalam komuniti pacuan empat roda,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Atan berkata, program tersebut akan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa manakala aspek keselamatan turut diberi perhatian dengan setiap kenderaan diwajibkan menjalani pemeriksaan teknikal sebelum dibenarkan menyertai pertandingan.

Katanya, pemeriksaan itu bertujuan memastikan jentera yang digunakan memenuhi keperluan pertandingan dan tahap keselamatan ditetapkan, sekali gus membolehkan aktiviti sukan pacuan empat roda dilaksanakan secara lebih tersusun dan bertanggungjawab.

“Pemilihan Felda Redong 1 sebagai lokasi penganjuran turut memberi peluang memperkenalkan kawasan berkenaan kepada peserta, keluarga, kru dan peminat kenderaan pacuan empat roda (4X4) dari luar Segamat.

“Kami melihat penganjuran ini bukan sahaja sebagai platform untuk mengembangkan sukan pacuan empat roda, tetapi juga sebagai peluang untuk membawa komuniti luar ke Felda Redong 1 dan memberi manfaat kepada masyarakat serta peniaga setempat.

“Penglibatan masyarakat tempatan amat penting dalam memastikan acara ini dapat memberikan impak yang positif kepada kawasan sekitar,” kata Atan.

Tambahnya, kehadiran pengunjung sepanjang tiga hari pertandingan dijangka memberi limpahan positif kepada komuniti setempat serta membantu merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan sekitar.

Dengan penyertaan dari Johor dan negeri-negeri lain, Peninsular Safari Challenge 2026 Johor (Zon Selatan) diharapkan dapat menjadi platform memperkukuh perkembangan sukan pacuan empat roda, di samping mengeratkan hubungan dalam kalangan penggiat dan peminat komuniti 4X4.

Selain Felda Redong 1 dan komuniti setempat, acara berkenaan turut mendapat kerjasama Kementerian Belia dan Sukan serta Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia.

Orang ramai, khususnya peminat sukan permotoran dan komuniti 4X4, dijemput hadir menyaksikan aksi peserta di Felda Redong 1, Segamat mulai esok hingga Ahad ini.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here