DUA penunggang basikal lelaki maut akibat dilanggar sebuah kereta di Kilometer 9.0 Jalan Persiaran Selatan di Putrajaya malam tadi.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki berusia lingkungan 40-an itu mengubah haluan dari lorong tengah ke lorong kiri, sebelum melanggar kedua-dua mangsa dalam kejadian kira-kira jam 10.15 malam.
“Mangsa masing-masing berusia lingkungan 40-an dan 30-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aidi Sham berkata, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan kepala.
Menurutnya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau meminta orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Putrajaya di talian 03-8886 2138 atau mana-mana balai polis berhampiran.





