JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu sebuah rumah mewah terpencil di Nilai yang dijadikan pusat operasi penipuan sindiket love scam serta menahan 21 individu termasuk empat dalang utama, kelmarin.
Operasi khas dan serbuan itu dijalankan bermula jam 5.55 petang hasil risikan yang diadakan selama sebulan serta maklumat awam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi dijalankan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas bersama Bahagian Keselamatan dan Pasport, ibu pejabat JIM Putrajaya.

Katanya, serbuan bermula apabila pasukan operasi bergerak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang dan menahan seorang lelaki tempatan dipercayai ahli sindiket bersama seorang lelaki dan wanita warga China berusia antara 50 hingga 53 tahun.
“Hasil soal siasat terhadap mereka membawa pasukan operasi ke sebuah kediaman di Taman Desa Melati, Nilai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, pemeriksaan di kediaman itu membawa kepada penahanan 18 warga asing berusia antara 23 hingga 33 tahun.
Beliau berkata, empat daripada mereka dipercayai dalang utama, terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita warga China serta seorang wanita warga Russia.
“Ahli sindiket yang ditahan pula terdiri daripada sembilan lelaki dan seorang wanita warga China.
“Turut ditahan masing-masing seorang lelaki warga Vanuatu dan Pakistan serta masing-masing seorang wanita warga India dan Myanmar,” katanya.
Beliau berkata, semakan awal mendapati semua warga asing yang ditahan di kediaman itu memasuki negara menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS).
Zakaria berkata, sindiket menjadikan kediaman mewah di kawasan terpencil itu sebagai pusat operasi penipuan dalam talian.
“Mereka menggunakan Telegram dan WhatsApp untuk memperdaya mangsa menerusi taktik penipuan cinta atau love scam serta penjualan barangan palsu.
“Ahli sindiket menggunakan skrip yang disediakan untuk memperdaya mangsa di luar negara. Mereka diberikan komisen berdasarkan jumlah mangsa yang berjaya diperdayakan,” katanya.
Beliau berkata, sindiket dipercayai mampu mengaut keuntungan sehingga AS$50,000 (RM202,280) melalui kegiatan itu.
Katanya, kegiatan penipuan cinta dan penjualan barangan palsu itu dipercayai beroperasi sejak awal tahun ini.
Zakaria berkata, siasatan awal turut mendapati sindiket menguruskan kemasukan warga asing ke Malaysia dengan menyasarkan warga China yang disenarai hitam Imigresen.
Beliau berkata, dua warga China yang ditahan di KLIA dipercayai memiliki pasport dengan nombor berbeza bagi mengelakkan sekatan kemasukan.
“Pasport yang tidak disenarai hitam digunakan untuk melepasi pemeriksaan e-Gate di KLIA. Pemeriksaan terhadap kedua-dua suspek menemukan pasport yang disenarai hitam di dalam beg mereka,” katanya.
“Lelaki tempatan yang ditahan dipercayai berperanan menghantar dua warga China itu ke lokasi ditetapkan dengan bayaran antara RM150 hingga RM500 seorang, bergantung pada destinasi,” katanya.
Zakaria berkata, pasukan operasi menyita empat pasport China, empat telefon bimbit dan sebuah Proton X70 dipercayai digunakan sindiket ketika operasi di KLIA.
“Dalam pemeriksaan di kediaman di Nilai, JIM menyita 28 pasport China serta masing-masing satu pasport Myanmar, India, Vanuatu dan Rusia.
“Sebanyak 11 set komputer meja, sebuah komputer riba, 40 unit telefon bimbit dan wang tunai RM4,800 dipercayai hasil kegiatan sindiket turut disita,” katanya.
Beliau berkata, lelaki tempatan dan empat dalang utama ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.
“Warga asing lain pula ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Kesemua tangkapan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.





