JIM berkas dua warga Bangladesh dalang sindiket pemalsuan pasport

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menahan dua lelaki warga Bangladesh yang dipercayai menjadi dalang utama sindiket pemalsuan pasport dalam serbuan di ibu negara, semalam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kedua-dua suspek berusia 29 dan 32 tahun itu ditahan dalam operasi yang dijalankan selepas risikan dibuat selama seminggu.

Menurutnya, operasi bermula jam 11.30 pagi dan dijalankan sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Risikan dan Operasi Khas JIM di dua lokasi.

“Hasil daripada operasi ini, satu kita menahan dua orang warga Bangladesh berkenaan. Bersama dengan mereka juga ada sembilan naskhah pasport Bangladesh yang telah dipalsukan.

“Selain itu, terdapat beberapa peralatan lain antaranya tiga unit telefon bimbit, dua buah komputer dan juga cap keselamatan untuk masuk dan keluar negara,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat JIM di Putrajaya hari ini, lapor Buletin TV3.

Zakaria berkata, pihaknya turut merampas 2,110 naskhah pasport yang belum dijilid dan dipercayai menjadi bahan asas untuk pengeluaran pasport palsu.

Tambah beliau, hasil soal siasat turut membawa kepada penemuan wang tunai berjumlah RM200,000 dalam akaun e-dompet sindiket berkenaan yang dipercayai hasil kegiatan itu.

Katanya, modus operandi sindiket adalah menghasilkan pasport palsu bagi urusan pemeriksaan kesihatan di klinik panel FOMEMA, khususnya membabitkan pekerja asing yang berdepan masalah kesihatan.

Menurut beliau, kaedah itu membolehkan individu lain yang sihat menggantikan pemegang pasport asal untuk menjalani pemeriksaan kesihatan menggunakan identiti individu berkenaan.

Zakaria berkata, sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM200 hingga RM300 bagi setiap transaksi pemalsuan pasport dan urusan pemeriksaan kesihatan.

Kegiatan itu difahamkan sudah beroperasi kira-kira setahun, manakala permintaan terhadap perkhidmatan itu dilihat tinggi berdasarkan jumlah bahan pasport yang disimpan.

Katanya lagi, sindiket menggunakan ejen bebas untuk mendapatkan pelanggan secara bersemuka atau melalui kenalan dan pada masa sama tidak menawarkan perkhidmatan secara terbuka.

Kedua-dua suspek menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sektor pembinaan dan berdasarkan rekod, sudah menetap di Malaysia selama sembilan tahun, ujar beliau.

Sehubungan itu, Zakaria berkata, pihaknya akan meneruskan risikan bagi mengenal pasti rangkaian lain yang masih menjalankan kegiatan sama, termasuk kemungkinan penglibatan pihak lain dalam menyediakan bahan untuk pemalsuan pasport.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here