POLIS membuat semakan semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian bagi membantu siasatan kemalangan yang meragut nyawa dua lelaki berbasikal di Kilometer 9.0 Jalan Persiaran Selatan, Putrajaya, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, semakan rakaman itu dilakukan bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai kejadian serta membantu mengenal pasti punca kemalangan.
Menurutnya, pegawai penyiasat akan ke Putrajaya Command Centre (PCC) Perbadanan Putrajaya (PPj) hari ini bagi membuat semakan terhadap rakaman CCTV di sekitar lokasi kejadian.
“Pegawai penyiasat akan ke PCC PPj untuk semakan semula rakaman CCTV di kawasan kejadian, hari ini untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Buletin TV3.
Aidi Sham berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dan perlu membuat pengesahan lanjut menerusi rakaman kamera berkenaan.
Beliau berkata, empat individu turut sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan kemalangan berkenaan.
“Ia membabitkan dua waris dan masing-masing seorang pemandu kereta dan kontraktor jalan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan polis sudah merakam keterangan pemandu kereta yang terbabit dalam kemalangan itu, namun lelaki berusia 40-an berkenaan tidak ditahan.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 malam itu, Mohd Hilmi Tahar, 48, dan Syazwan Zharif Abdul Karim, 30, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti keadaan sebenar yang menyebabkan kemalangan serta punca kedua-dua penunggang basikal terbabit dilanggar kenderaan berkenaan.




