SEORANG lelaki berusia 62 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes mendatangkan kecederaan parah terhadap jirannya berusia 80 tahun menggunakan batang besi di Jalan Perak, Georgetown, pagi semalam.
Perintah reman bermula hari ini sehingga Ahad depan itu dikeluarkan Majistret Nurhanisah S H Sahul Hamid bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Semalam media melaporkan, kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu berlaku di hadapan rumah mangsa selepas dipercayai berlaku perselisihan faham antara kedua-dua mereka, lapor Buletin TV3.
Suspek didakwa memukul mangsa menggunakan sebatang besi sehingga menyebabkan lelaki warga emas itu mengalami kecederaan parah pada bahagian tangan dan kaki.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad dilapor berkata, mangsa masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Beliau berkata, polis kemudian menahan suspek dan merampas sebatang besi yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut di rumahnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.
Terdahulu, kejadian berkenaan turut tular di media sosial menerusi video berdurasi 15 saat yang memaparkan mangsa terbaring selepas suspek yang datang menunggang motosikal didakwa memukulnya menggunakan batang besi berulang kali.




