Pengajar GiatMara maut, dua anak cedera kereta dinaiki bertembung lori

SEORANG tenaga pengajar GiatMara maut manakala dua anaknya cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Kota Belud-Tuaran berhampiran Taman Nikmat di Kota Belud hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.05 pagi itu, Norasida Mayur, 42, meninggal dunia di tempat kejadian selepas tersepit di tempat duduk pemandu.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintenden Khairul Shah Peri berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, lori dipandu lelaki berusia 42 tahun itu dalam perjalanan dari Kota Belud menuju ke Tuaran.

Katanya, Perodua Alza yang dipandu mangsa bersama tiga anaknya berusia 15, 17 dan 18 tahun datang dari arah bertentangan.

“Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, Perodua Alza dipercayai memasuki laluan lori sebelum kedua-dua kenderaan itu bertembung.

“Akibat pelanggaran itu, Perodua Alza berpusing sebelum menghadap ke arah Tuaran, manakala lori berhenti di kawasan kedai makan di tepi jalan,” katanya ketika dihubungi media hari ini, lapor Buletin TV3.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk tindakan lanjut.

“Dua anak mangsa dibawa ke Hospital Kota Belud untuk menerima rawatan, manakala seorang lagi berusia 17 tahun tidak cedera.

“Pemandu lori juga tidak mengalami kecederaan dan ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Khairul Shah berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta tampil menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud bagi membantu siasatan.

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here