TIGA termasuk seorang wanita maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Jemaluang di Kota Tinggi petang ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor memaklumkan, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada jam 5.05 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi dan BBP Mersing bergegas ke tempat kejadian.
Menurut kenyataan itu, kemalangan melibatkan Honda City dinaiki seorang lelaki berusia 21 tahun dan seorang wanita berusia 20 tahun serta Toyota Vios dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun.
“Ketiga-tiga mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan,” kata kenyataan itu hari ini.
Pusat gerakan memaklumkan, anggotanya menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan penyelamatan termasuk rescue cutter dan pengusung (stretcher).
“Selepas mangsa berjaya dikeluarkan, kesemua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya sambil memberitahu punca kemalangan masih dalam siasatan.





