SEORANG pekerja hotel warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Georgetown hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak lelaki rakyat Australia di sebuah warung di bandar raya ini, minggu lalu.
Aung Phyo Win, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Melayu di hadapan Hakim Juraidah Abbas.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun itu.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu ketika berada di Warung Penjaja, Lorong Baharu di Georgetown kira-kira jam 9.10 malam pada 20 Ogos lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Anuarul Hakim Abdul Muen manakala tertuduh diwakili peguam K Mahendran.
Terdahulu, Hakim Juraidah Abbas menyoal tertuduh sama ada dia benar-benar boleh memahami Bahasa Melayu dan tertuduh memberitahu mahkamah bahawa dia bekerja di negara ini selama empat tahun dan sudah berkahwin.
Ketika prosiding, Mahendran memohon mahkamah mempertimbangkan supaya anak guamnya dibenarkan diikat jamin dan memaklumkan terdapat dua warga Malaysia sedia menjadi penjamin tertuduh.
Beliau turut memaklumkan anak guamnya akan mematuhi semua syarat tambahan yang ditetapkan mahkamah selain pasport miliknya sudah diserahkan kepada pihak polis.
Bagaimanapun, Anuarul tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh dan memaklumkan pihaknya belum menerima pengesahan kesahihan dokumen berkenaan walaupun pasport tertuduh sudah berada dalam simpanan polis.
“Walaupun pasport tertuduh telah diserahkan kepada polis, pihak mahkamah belum menerima dokumen yang mengesahkan pasport tertuduh adalah sah oleh itu pihak pendakwaan mohon mahkamah tidak memberikan jaminan terhadap tertuduh,” katanya.
Mahkamah memutuskan tiada jaminan diberikan kepada tertuduh dan menetapkan tarikh 28 September depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.





