POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan menggantung sementara tugas seorang pegawai penyiasat (IO) narkotik di Kuala Krai bagi membolehkan siasatan berhubung dakwaan salah laku.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, tindakan itu bagi memastikan siasatan terhadap pegawai berkenaan dapat dijalankan dengan baik dan sempurna.
“PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai yang melakukan perkara bertentangan dengan undang-undang,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di pangkalan haram Lubok Gong, Rantau Panjang, di Pasir Mas hari ini.
Sebelum ini, tular dalam media sosial seorang pegawai penyiasat yang bertugas di Kuala Krai didakwa terlibat kes salah laku dengan seorang wanita yang juga isteri kepada individu yang ditahan berkaitan kes dadah.
Mohd Khalid dalam pada itu berkata, siasatan telah dijalankan dan beberapa tindakan, termasuk mengambil keterangan daripada pihak berkaitan telah dilaksanakan.
Beliau menambah, pengadu turut akan dipanggil untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan.





