Penipuan dalam talian ‘telan’ hampir RM3 bilion

JENAYAH penipuan dalam talian di negara ini terus menunjukkan trend membimbangkan apabila jumlah kes meningkat sebanyak 87 peratus tahun ini dengan nilai kerugian keseluruhan mencecah RM2.97 bilion.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, sebanyak 66,204 kes jenayah penipuan dalam talian direkodkan sepanjang tahun 2026 berbanding 35,368 kes pada tahun lalu.

Menurut beliau, peningkatan mendadak itu berlaku meskipun pelbagai usaha penguatkuasaan serta kempen kesedaran telah dilaksanakan oleh pihak berkuasa bagi membendung jenayah berkenaan.

“Statistik menunjukkan satu trend yang amat membimbangkan. Sepanjang tahun 2026, sebanyak 66,204 kes jenayah penipuan dalam talian telah direkodkan, mencatatkan peningkatan drastik sebanyak 87 peratus berbanding tahun 2025.

“Dari sudut nilai kerugian, angka yang dicatatkan pada tahun 2026 mencecah RM2.97 bilion, iaitu peningkatan sebanyak RM1.40 bilion berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Perangi Scam: Dua Pasukan, Satu Matlamat di Hotel Intercontinental, di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Khalid berkata, penipuan menerusi panggilan telefon atau phone scam masih menjadi ancaman utama apabila merekodkan sebanyak 28,388 kes.

Katanya, bagi kategori kerugian tertinggi pula, pelaburan tidak wujud mencatatkan jumlah kehilangan sebanyak RM1.47 bilion.

Menurut beliau, polis terus memperhebat operasi penguatkuasaan termasuk menahan individu yang terbabit dalam kegiatan penipuan.

“Kita melakukan operasi dari semasa ke semasa. Baru-baru ini kita menahan 183 individu terlibat dalam scam dan tindakan diambil di sekitar Lembah Klang.

“Kita laksanakan berterusan, tetapi paling penting kita beri kesedaran rakyat kita supaya jangan mudah percaya (dengan sindiket penipuan),” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) menerima antara 500 hingga 700 panggilan setiap hari daripada pengguna yang menjadi mangsa penipuan.

Katanya, maklumat yang diterima melalui panggilan berkenaan membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan serta mengesan aliran wang yang terbabit.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada ketika menjalankan urusan dalam talian dan membuat semakan terlebih dahulu melalui saluran rasmi sebelum melakukan sebarang transaksi atau berkongsi maklumat peribadi.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img