Pegawai, anggota sorok dadah dalam lokap digantung tugas

PEGAWAI dan anggota polis yang bertugas di sebuah sel lokap di Balai Polis Sentral, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh telah digantung tugas bagi membantu siasatan berhubung penemuan pelbagai barangan terlarang termasuk dadah, telefon bimbit dan senjata tajam.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, tindakan segera sudah diambil dengan mengarahkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman menjalankan siasatan lanjut.

“Tindakan susulan turut dilaksanakan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan beberapa jabatan berkaitan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, pemeriksaan mengejut JIPS Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak membongkar penemuan pelbagai barangan terlarang termasuk dadah, telefon bimbit dan senjata tajam di dalam sebuah sel lokap di Balai Polis Sentral di IPD Ipoh.

Serbuan yang dijalankan Selasa lalu bermula jam 9.30 malam hingga 3 pagi itu bertindak atas maklumat awam yang diterima pihak berkuasa.

Pemeriksaan yang tertumpu di lokap yang menempatkan empat orang Orang Kena Tahan (OKT) lelaki, membawa kepada penemuan awal sebuah telefon pintar jenis Vivo pada tubuh salah seorang tahanan.

Pemeriksaan lanjut di dalam sel yang disaksikan oleh semua OKT kemudiannya merungkai penemuan lebih mengejutkan.

Polis menemukan sebuah kotak bertulis Fire Sens yang menyembunyikan 22 peket plastik lut sinar dipercayai dadah jenis heroin seberat 4.23 gram serta satu peket disyaki methamphetamine seberat 1.6 gram.

Mohd Khalid dalam pada itu berkata, semua Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah (KPD) juga diarahkan melakukan pemeriksaan di semua lokap.

Katanya, arahan dikeluarkan kepada semua KPD supaya pemeriksaan lokap dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap keselamatan dan pemantauan sentiasa berada pada tahap terbaik.

“Kita sebenarnya sentiasa menjalankan siasatan dan operasi. Arahan saya kepada Ketua Polis Daerah untuk memeriksa lokap-lokap dari semasa ke semasa.

“Secara keseluruhannya, kita melihat keadaan masih baik dan terkawal. Cuma dalam satu kes terbaharu, hasil siasatan mendapati berlaku sedikit kelompongan apabila beberapa bahan terlarang dijumpai di dalam lokap,” katanya.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img