JABATAN Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor memaklumkan kemalangan sebuah roller-coaster di taman tema Sunway Lagoon pada 22 Ogos lalu dipercayai berpunca daripada kegagalan meluncur sebelum berhenti secara mengejut menyebabkan 10 penumpang cedera.
Menurut jabatan itu, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati jentera yang membawa 22 orang penumpang tersebut beroperasi seperti biasa sebelum mengalami kegagalan meluncur, kira-kira 200 meter dari kawasan pelepasan.
“Kejadian itu mengaktifkan sistem brek kecemasan secara automatik sehingga menyebabkan jentera terhenti secara mengejut.
“Susulan penghentian pergerakan mengejut berkenaan, seramai 10 orang penumpang dihantar ke hospital berhampiran bagi menerima rawatan akibat kesan hentakan,” menurut kenyataan JKKP Selangor itu hari ini.
Menurutnya, susulan kejadian itu JKKP Selangor mengeluarkan Surat Arahan Larangan Kacau Ganggu di tempat kejadian bagi membolehkan siasatan lanjut dan pemeriksaan teknikal dijalankan oleh Bahagian Kejuruteraan Forensik JKKP Putrajaya.
Tambah kenyataan itu, siasatan susulan juga sedang dijalankan termasuk memanggil majikan serta saksi-saksi kejadian bagi memberikan keterangan.
“Siasatan ini dijalankan di bawah Seksyen 18(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” katanya.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat sebelum ini dilaporkan berkata, sebanyak 10 pengunjung cedera ringan dalam kejadian yang berlaku kira-kira 9 malam itu.
Semua mangsa berusia antara 11 hingga 44 tahun, terdiri daripada rakyat Malaysia dan pelancong asing dilaporkan mengalami kecederaan ringan.
Insiden itu mula mendapat perhatian umum selepas beberapa video tular di media sosial, termasuk satu rakaman yang memaparkan seorang wanita diusung berhampiran bahagian landasan roller-coaster itu.





