SEORANG mekanik yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) lembam antara dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Kulai, hari ini, kerana menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya di Lebuhraya Linkedua, Gelang Patah, minggu lalu.
Muhamad Aiman Izzuddin Sukri, 25, dan Mohamad Riduan Abd Ghani, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret R Salini.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh yang menunggang motosikal Yamaha didakwa menunggang secara melulu dan berbahaya sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain di Lebuhraya Linkedua kira-kira jam 7 pagi, 22 Ogos lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda sehingga RM15,000 serta boleh hilang kelayakan memiliki lesen memandu jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Weng Hong, manakala Mohamad Riduan diwakili peguam R.S. Amarpreet Singh dan Muhamad Aiman Izzuddin diwakili Abd Rahim Ali.
Dalam rayuan, kedua-dua peguam memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan Mohamad Riduan menanggung isteri dan bapanya, manakala Muhamad Aiman Izzuddin merupakan OKU.
R Salini kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Kes disebut semula pada 5 Oktober depan, lapor Sinar Harian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee mengesahkan sembilan lagi suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu, termasuk seorang pempengaruh permotoran yang didakwa bertindak menutup jalan bagi memberi laluan kepada perlumbaan haram, dibebaskan dengan jaminan polis pada Rabu dan Khamis.
Terdahulu, lapan individu termasuk pempengaruh permotoran direman pada Isnin, manakala tiga lagi direman semalam kerana disyaki terbabit dalam kegiatan menutup jalan bagi perlumbaan haram di Lebuhraya Linkedua kira-kira jam 7 pagi, 22 Ogos lalu.
Video perlumbaan membabitkan dua motosikal itu kemudian tular di media sosial sehingga membawa kepada penahanan individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan.





