Juruelektrik bebas tuduhan benarkan pokok kanabis ditanam

SEORANG juruelektrik terlepas daripada hukuman penjara seumur hidup dan sebatan selepas Mahkamah Sesyen Ipoh membebaskan serta melepaskannya daripada pertuduhan membenarkan pokok kanabis ditanam di rumahnya, tiga tahun lalu.

Aszizi Ayub, 37, dibebaskan pada akhir kes pendakwaan selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi ketika menyampaikan keputusan berkata, mahkamah telah menilai keterangan yang dikemukakan pihak pendakwaan serta hujahan pembelaan.

“Mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh. Oleh itu, tertuduh dibebaskan dan dilepaskan daripada pertuduhan,” katanya, lapor Buletin TV3.

Mengikut pertuduhan, Aszizi didakwa membenarkan sepokok kanabis seberat 253.4 gram ditanam di sebuah rumah di Taman Dato Leow Yan Sip pada 31 Julai 2023.

Dia didakwa membenarkan tumbuhan itu, yang boleh digunakan untuk mendapatkan kanabis, ditanam dan dibiakkan oleh orang lain di dalam beg plastik hitam.

Kesalahan itu didakwa berlaku kira-kira jam 8.30 malam di sebuah rumah di Persiaran Wira Jaya Timur 36, Taman Dato Leow Yan Sip.

Aszizi didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(c) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama.

Peruntukan itu melarang penanaman atau pembiakan tumbuhan tertentu termasuk pokok popi, kanabis dan kokain.

Jika disabitkan, kesalahan berkenaan membawa hukuman mandatori penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Pavitra, manakala Aszizi diwakili peguam Keshvinder Singh, Sukhdave Singh dan Renver Singh.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here