Kuota penting pastikan subsidi dan bekalan stabil

SETIAP hari, berjuta-juta rakyat bergantung kepada RON95 untuk memastikan rutin kehidupan berjalan seperti biasa, daripada perjalanan ke tempat kerja dan menghantar anak ke sekolah hingga mencari rezeki di jalan raya.

Namun, di sebalik harga petrol bersubsidi yang dinikmati rakyat, kerajaan perlu berdepan persoalan lebih besar mengenai kemampuan menanggung kos subsidi, kestabilan bekalan serta ketidaktentuan pasaran minyak dunia.

Dalam keadaan harga minyak mentah dipengaruhi konflik geopolitik seperti perang, sekatan atau ketegangan antara negara pengeluar, gangguan rantaian bekalan dan turun naik mata wang, kuota RON95 dilihat sebagai antara mekanisme untuk memastikan subsidi terus dinikmati golongan yang layak tanpa menjejaskan daya tahan kewangan negara.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, subsidi RON95 kekal sebagai jaring keselamatan kepada majoriti rakyat Malaysia, namun dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, penggunaannya perlu diurus secara bijak dan mampan.

“Kita faham kebimbangan orang ramai apabila mendengar ada had atau kuota untuk RON95. Bagi kebanyakan kita, kereta dan motosikal memang digunakan setiap hari untuk pergi kerja, hantar anak ke sekolah dan membeli barang dapur.

“Namun, kuota ini bukan untuk menyusahkan rakyat. Tujuannya adalah untuk memastikan bekalan stabil sepanjang tahun dan bantuan sampai kepada mereka yang layak,” katanya kepada UtusanMelayuPlus.

Beliau berkata, krisis bekalan global yang berpanjangan menyebabkan harga minyak mentah boleh berubah dengan cepat akibat perkembangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan turun naik nilai mata wang.

Katanya, keadaan itu turut memberi kesan kepada kos subsidi yang perlu ditanggung kerajaan bagi mengekalkan harga RON95 pada paras bersubsidi.

“Pasaran minyak adalah pasaran global. Konflik geopolitik, gangguan pengeluaran, gangguan laluan perdagangan, kos pengangkutan, insurans dan kadar pertukaran mata wang semuanya boleh memberi kesan kepada kos tenaga,” katanya.

Menurut Dr Aimi Zulhazmi, dalam keadaan krisis seperti ini, pengurusan permintaan menjadi sama penting dengan pengurusan bekalan kerana penggunaan yang tidak terkawal boleh meningkatkan tekanan terhadap bekalan dan kos.

Katanya, BUDI MADANI RON95 atau BUDI95 membolehkan pengguna yang layak menikmati petrol bersubsidi mengikut had penggunaan bulanan, termasuk siling lebih tinggi bagi kumpulan yang mempunyai keperluan operasi seperti pemandu e-hailing.

“Untuk pemandu e-hailing dan mereka yang menggunakan kenderaan untuk mencari rezeki, hadnya juga lebih tinggi. Ini menunjukkan subsidi perlu diurus berdasarkan keperluan dan bukan semata-mata diberikan tanpa had kepada semua pengguna,” katanya.

Pada masa sama, Dr Aimi Zulhazmi berkata, rakyat juga mempunyai peranan penting dalam membantu negara menghadapi ketidaktentuan ekonomi global dengan memahami keadaan semasa, bersedia menghadapi turun naik harga dan menyesuaikan amalan penggunaan harian.

Katanya, pengguna boleh menggabungkan beberapa urusan dalam satu perjalanan, berkongsi kenderaan jika praktikal dan menggunakan pengangkutan awam apabila sesuai bagi mengurangkan penggunaan bahan api yang tidak perlu.

“Apabila berjuta-juta pengguna membuat perubahan kecil, kesannya secara agregat boleh menjadi besar. Ini bukan bermaksud rakyat perlu menyelesaikan krisis global, tetapi ia adalah soal daya tahan bersama,” katanya.

Beliau berkata, subsidi yang lebih bersasar juga berpotensi memberi ruang kepada kerajaan menyalurkan lebih banyak sumber kepada sektor penting seperti pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam dan bantuan sosial.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (Kewangan) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM, Dr Masrina Nadia Mohd Salleh berkata, kuota subsidi RON95 perlu dilihat sebagai mekanisme untuk mengimbangi keperluan rakyat, kestabilan bekalan bahan api dan kemampuan kewangan kerajaan.

Katanya, apabila kerajaan menetapkan harga RON95 pada paras bersubsidi, terdapat perbezaan antara harga yang dibayar pengguna dengan kos sebenar yang perlu ditanggung kerajaan, sekali gus menyebabkan beban subsidi meningkat apabila harga minyak dunia melonjak.

“Kementerian Kewangan menganggarkan apabila harga minyak mentah Brent berada sekitar AS$90 setong, subsidi petrol dan diesel boleh mencecah kira-kira RM3 bilion sebulan, manakala pada harga sekitar AS$100 setong, beban subsidi dianggarkan meningkat kepada RM4 bilion sebulan,” katanya.

Beliau berkata, tanpa had penggunaan, peningkatan permintaan ketika harga minyak dunia melonjak boleh menyebabkan pendedahan fiskal kerajaan meningkat dengan cepat, justeru siling penggunaan munasabah diperlukan bagi mengawal kos tanpa menafikan hak rakyat mendapatkan bahan api.

Dr Masrina Nadia berkata, BUDI95 menjadi contoh bagaimana subsidi boleh disasarkan berdasarkan kelayakan pengguna, dengan had asas 200 liter sebulan pada harga bersubsidi RM1.99 seliter, manakala operator e-hailing boleh menikmati siling tambahan sehingga 800 liter sebulan.

“Pendekatan ini menunjukkan satu prinsip penting, iaitu tidak semua penggunaan bahan api mempunyai keperluan yang sama. Keperluan seseorang yang memandu ke tempat kerja berbeza daripada pemandu e-hailing yang menggunakan kenderaan sebagai sumber pendapatan,” katanya.

Walaupun dua orang pekerja mempunyai status pekerjaan yang sama, jarak perjalanan harian yang berbeza menyebabkan keperluan peribadi dan kewangan mereka tidak sama.

Dalam keadaan pasaran minyak global yang tidak menentu, pemberian subsidi perlu mengambil kira kemampuan fiskal negara serta corak penggunaan yang berbeza antara kumpulan pengguna.

  Pada masa sama, beliau berkata, subsidi mempunyai kos peluang kerana setiap ringgit yang digunakan untuk subsidi tidak boleh digunakan pada masa yang sama bagi tujuan lain, justeru penjimatan daripada subsidi bersasar boleh disalurkan kepada pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam, bantuan sosial dan pembangunan infrastruktur.

Namun, beliau menegaskan kerajaan perlu memastikan rakyat dapat melihat ke mana penjimatan fiskal itu disalurkan supaya perubahan subsidi benar-benar memberi manfaat kepada kesejahteraan dan daya tahan rakyat.

Hakikatnya, kuota RON95 bukan sekadar persoalan mengenai jumlah petrol yang boleh dibeli seseorang, sebaliknya mencerminkan usaha negara mengimbangi keperluan rakyat, kestabilan bekalan tenaga dan kemampuan kewangan kerajaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here