SEORANG lelaki maut selepas terjatuh dari sebuah bangunan kediaman di Jalan Lembah Pantai, Kuala Lumpur, semalam, ketika dipercayai cuba melarikan diri daripada pihak berkuasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.57 malam itu, lelaki berusia 24 tahun terbabit dilaporkan bertindak agresif di rumahnya sebelum ibunya menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, sebaik polis tiba di lokasi, lelaki terbabit sudah melarikan diri ke hujung bangunan untuk turun dari tingkat 11 ke tingkat 10.
“Mangsa melompat ke tingkat 10 dan terjatuh ke bahagian bawah bangunan sebelum disahkan mati di lokasi oleh pegawai perubatan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati lelaki terbabit mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kesalahan dadah.




