Tunku Besar Tampin sampaikan sumbangan kepada asnaf sempena Maulidur Rasul

TUNKU Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri hari ini berkenan menyampaikan sumbangan bakul makanan dan wang tunai kepada 50 penerima dalam kalangan asnaf di daerah ini sempena sambutan Maulidur Rasul.

Program bertemakan ‘Bersama Menghidupkan Sunnah, Menyemai Cinta Rasulullah SAW’ itu berlangsung di perkarangan Surau Al-Khusyu’, Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin, sebagai usaha menyemarakkan semangat kebersamaan serta menghidupkan nilai murni yang diteladani daripada Rasulullah SAW.

Majlis berkenaan turut menekankan konsep berkongsi rezeki dan saling membantu, selaras dengan ajaran Rasulullah SAW yang menggalakkan umatnya mengambil berat terhadap golongan yang memerlukan serta membudayakan amalan memberi kepada sesama insan.

Inisiatif kebajikan itu turut mendapat sokongan Yayasan VFive Group yang bersama-sama menjayakan penyampaian sumbangan bakul makanan dan sumbangan wang tunai oleh Teraju Construction Sdn Bhd., serta Asri Ahmad Akademi, sebuah institusi yang memberi tumpuan kepada pendidikan dan ilmu berkaitan pelaburan saham.

“Sumbangan berkenaan bukan sahaja bertujuan meringankan beban penerima, malah menjadi manifestasi tanggungjawab sosial pihak korporat dan badan kebajikan dalam berkongsi rezeki dengan masyarakat, khususnya golongan asnaf yang memerlukan perhatian serta sokongan berterusan,” titah Tunku Syed Razman.

Turut hadir, Che Puan Isteri, Anis Sobari yang turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada para penerima, sekali gus menambah nilai kebajikan dalam program bersempena sambutan Maulidur Rasul itu.

Menurut Tunku Syed Razman, penganjuran program berkenaan diharap dapat menyemai kecintaan terhadap Rasulullah SAW menerusi penghayatan sunnah dalam kehidupan seharian, selain menjadikan Maulidur Rasul sebagai momentum memperkukuh amalan kebajikan dan nilai kasih sayang sesama insan.

Sementara itu, Yayasan VFive Group diwakili oleh Ts Amir Junaidi Amerrudin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Bahagian Media, Pengiklanan dan Perkhidmatan, VFive Group Sdn Bhd.

Turut hadir Fakhrul Nazhi Hanaffi Pengasas dan Pengarah Urusan Teraju Construction Sdn Bhd dan Datuk Mohd Asri Ahmad, Pengasas Ahmad Asri Akademi.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here