Pekerja kedai besi buruk didenda RM7,000 tipu dua mangsa

SEORANG pekerja kedai besi buruk didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Seremban, hari ini, selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan memperdayakan dua mangsa hingga menyebabkan kerugian RM3,300.

Majistret Nurul Saqinah Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap M Logaraju, 28, selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memperdayakan penjaga kaunter dengan membeli tambah nilai kad Touch ‘n Go bernilai RM2,300 di sebuah stesen minyak di Nilai 7, Nilai, tanpa membuat sebarang bayaran.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 2.57 pagi hingga 5.37 pagi, 11 Ogos lalu, lapor BH.

Bagi pertuduhan kedua, Logaraju didakwa membuat transaksi palsu kononnya membayar RM1,000 kepada seorang lelaki ke dalam satu akaun, sedangkan dia tidak memasukkan wang berkenaan.

Kesalahan itu didakwa berlaku antara jam 1.30 tengah hari hingga 2.30 petang di sebuah bank di Mantin, pada 30 Julai lalu.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurnadiahani Mohd Ideris memohon mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum terhadap tertuduh sebagai pengajaran dan pencegahan kepada tertuduh serta masyarakat.

Mahkamah kemudian menjatuhkan denda RM3,000 bagi pertuduhan pertama, atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda, manakala RM4,000 bagi pertuduhan kedua atau penjara tujuh bulan jika gagal membayarnya.

Logaraju yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K Gejalaxmi, turut berdepan dua lagi pertuduhan.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa membuat transaksi palsu berjumlah RM4,980 kepada seorang lelaki dan memperdayakan seorang lelaki bagi urusan jual beli wayar elektrik berjumlah RM4,200.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Akasia, Mantin dan di kaunter bayaran sebuah premis di Jalan Lenggeng-Mantin, masing-masing pada 12 Jun lalu.

Bagi pertuduhan berkenaan, tertuduh mengaku tidak bersalah dan ia boleh dihukum penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda.

Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan RM7,500 bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan dan menetapkan 6 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here