HELAH dua lelaki menyamar sebagai pegawai penguat kuasa terbongkar selepas mereka gagal menunjukkan kad kuasa ketika dipercayai cuba memeras ugut seorang warga asing di Kampung Koidupan Sugud, Penampang, tengah malam tadi.
Kedua-dua suspek berusia 19 dan 28 tahun itu dipercayai memakai pakaian menyerupai seragam sebuah agensi penguat kuasa sebelum meminta mangsa menunjukkan dokumen pengenalan diri kira-kira jam 12.10 tengah malam.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, suspek kemudian mendakwa mangsa melakukan kesalahan kerana gagal mengemukakan pasport.
“Kedua-dua suspek dipercayai meminta bayaran RM1,500 daripada mangsa kononnya bagi menyelesaikan kesalahan berkenaan.
“Bagaimanapun, apabila diminta menunjukkan kad kuasa, mereka tiba-tiba cuba melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua suspek berjaya ditahan penduduk kampung sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, polis turut merampas beberapa helai pakaian menyerupai seragam sebuah agensi penguat kuasa yang dipercayai digunakan kedua-dua suspek.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 384 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan pemerasan serta menyamar sebagai penjawat awam.
“Sabit kesalahan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, suspek boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau didenda atau disebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu,” katanya.
Sammy berkata, Seksyen 170 Kanun Keseksaan pula memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.





