Pertahankan perpaduan pelbagai kaum sebagai tunjang kekuatan – Anwar

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat agar memelihara negara dengan sebaik-baiknya dan mempertahankan perpaduan sebagai tunjang kekuatan Malaysia.

Katanya, kemerdekaan bererti bebas menentukan haluan sendiri dan yakin akan kekuatan sebagai bangsa yang bermaruah serta negara berdaulat.

“Pertahankan perpaduan rakyat pelbagai kaum sebagai tunjang kekuatan, dan isilah kemerdekaan dengan keberanian, keyakinan serta jiwa yang benar-benar merdeka,” kata beliau menerusi hantaran dalam Facebook beliau.

Perdana Menteri segala yang dikecapi rakyat pada hari ini hadir dengan pengorbanan generasi terdahulu dan bukannya diperoleh dengan mudah.

“Segala yang kita kecapi hari ini hadir dengan keringat, darah dan air mata generasi terdahulu. Justeru, peliharalah negara ini sebaik-baiknya,” kata beliau.

Menerusi video ucapan yang turut dimuat naik, Anwar berkata masyarakat Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Murut, Bidayuh dan Orang Ulu merupakan satu kekuatan rakyat Malaysia.

Beliau menegaskan bahawa kepentingan Malaysia harus mengatasi sentimen kesukuan dan kedaerahan, selain negara perlu dikenali sebagai sebuah negara yang menjamin keadilan kepada semua rakyat.

“Malaysia harus terkenal dengan jaminan keadilan bagi semua rakyat termasuk yang tersisih dan terpinggir,” kata beliau.

Anwar turut menyeru rakyat supaya terus bekerja sebagai satu pasukan, memelihara perpaduan, meningkatkan semangat dan mempertahankan negara dengan seluruh tenaga.

“Negara ini merdeka dengan kekuatan bersama semua rakyat Malaysia. Merdeka!” kata beliau.

Malaysia akan menyambut Hari Kebangsaan 2026 esok dengan tema “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here