SEORANG wanita cedera selepas terkena serpihan struktur konkrit sebuah bangunan warisan dalam kejadian di Lebuh China di Georgetown malam tadi.
Kejadian itu berlaku kira-kira jam 11.30 malam ketika masyarakat Tionghua meraikan sambutan Festival Hantu Lapar (Hungry Ghost Festival).
Dipercayai kabel penyambung yang dipasang pada dinding bangunan itu tercabut, menyebabkan struktur di penjuru premis itu tertanggal dan serpihannya mengenai mangsa.
Mangsa berusia 20-an itu mengalami cedera dan dibawa ke hospital bagi diberi rawatan, lapor BH.
Tinjauan mendapati kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) membersihkan sekitar lokasi dan memasang pita keselamatan.
Sementara itu seorang peniaga berhampiran yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian, dia sedang melayani pelanggan di premis.
Katanya, sekitar laluan berkenaan pada waktu itu dipenuhi orang awam yang mengambil bahagian dan melihat perarakan festival berkenaan.
“Saya tidak tahu mengenai kejadian itu sehingga terdengar bunyi bising dari arah luar kedai.
“Selepas itu barulah saya dapat tahu serpihan konkrit daripada bangunan berkenaan jatuh dan mengenai wanita terbabit dan seketika kemudian, saya lihat ada wanita dibawa menaiki ambulans,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Media pada 4 Ogos lalu melaporkan mengenai kejadian membabitkan runtuhan batu dan kayu daripada bahagian rasuk di tingkat satu bangunan warisan di Lebuh Armenian, Georgetown menyebabkan dua pelancong warga Sri Lanka mengalami cedera.
Pemeriksaan mendapati rasuk kayu bangunan itu rosak akibat serangan anai-anai sebelum runtuh.





