SEORANG lelaki warga emas maut digilis lori yang dipandunya selepas kenderaan berat itu menggelongsor ketika berhenti di hadapan sebuah kilang ayam di Taman Mawar, Machap Baru semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Superintenden Muhammad Zaki Ramat berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.50 tengah hari.
Beliau berkata, lelaki warga tempatan berusia 72 tahun itu dipercayai memberhentikan lori dipandunya di hadapan pintu utama kilang berkenaan sebelum turun dari kenderaan terbabit dan berjalan menuju ke pondok pengawal.
“Mangsa dipercayai terlupa menarik brek tangan sehingga menyebabkan lori itu menggelongsor sebelum melanggar dan menggilisnya.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Muhammad Zaki, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.





