Seorang remaja ditemukan lemas, tiga masih hilang di Tanjung Balau

SEORANG daripada empat remaja yang dikhuatiri lemas ketika mandi-manda di Pantai Tanjung Lompat, Tanjung Balau di Penawar ditemukan lemas hari ini.

Mangsa, Alif Taqiudin Kamal Hasrul Mohamad ditemukan oleh pasukan penyelamat dengan kerjasama penduduk pada jam 1.25 petang.

Tiga lagi yang masih hilang ialah Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor, Mohamad Haiman Fitri Supian dan Muhammad Adib Hafiy Kamal. Kesemua mangsa berusia 16 tahun.


AHLI keluarga tidak dapat menahan kesedihan ketika menunggu perkembangan operasi mencari tiga remaja lelaki berusia 16 tahun yang dikhuatiri lemas di Pantai Tanjung Lompat, Tanjung Balau di Penawar hari ini

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintenden Mohd Syamsuri Mohamad berkata, mayat remaja itu ditemukan kira-kira 800 meter dari lokasi terakhir dia dikhuatiri lemas.

“Bagaimanapun proses pengecaman mangsa sedang dilakukan. Mayatnya dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat,” katanya ditemui di pusat kawalan operasi di lokasi kejadian hari ini, lapor BH.

Mohd Syamsuri berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 8.20 pagi tadi.

Katanya, berdasarkan maklumat diterima, empat mangsa bersama dua lagi rakan mereka sedang mandi-manda di pantai berkenaan dalam keadaan ombak kuat.

“Empat mangsa dikhuatiri lemas, manakala dua lagi berjaya diselamatkan orang awam yang berada di lokasi kejadian.

“Operasi mencari dan menyelamat kini giat dilakukan oleh pasukan mencari dan menyelamat dengan bantuan penduduk setempat,” katanya.

Beliau pada masa sama mengingatkan orang ramai agar menghentikan aktiviti di laut buat masa ini berikutan keadaan laut bergelora dan ombak kuat.

Seramai 30 anggota terdiri daripada polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia dan kementerian terlibat dalam operasi berkenaan.

Sementara itu, seorang rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, kejadian berlaku ketika kumpulan mereka seramai 16 orang sedang mandi-manda di pesisir pantai selepas berkhemah di kawasan berkenaan sejak semalam.

Katanya, insiden berlaku secara tiba-tiba ketika mereka sedang mandi-manda di pesisir pantai sebelum Muhammad Thaqif, hanyut ke kawasan lebih dalam.

​”Pagi tadi kami pergi berendam sekejap. Kemudian Thaqif pergi mandi di kawasan yang agak jauh sikit daripada kami. Apabila kami panggil, dia seperti tidak mendengar.

​”Kami biarkan sahaja, tetapi bila kami pandang semula, kami lihat dia sudah terkapai-kapai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, lapor Sinar Harian.

Menurut remaja itu, menyedari Thaqif yang tidak pandai berenang, beberapa rakan lain cuba memberikan bantuan, namun cuaca dan arus laut menyebabkan situasi tidak dapat dikawal.

Katanya, perkhemahan itu merupakan pertama kali dianjurkan berbanding pertemuan kecil sebelum ini.

​”Kami amat berharap agar urusan pencarian dipermudahkan dan semua rakan yang masih hilang dapat ditemui dengan cepat,” katanya.

 

 

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here