POLIS menahan seorang pengendali bot penumpang yang terlibat dalam kemalangan dua buah bot bertembung di Kuala Sungai Mersing, Mersing pada malam 31 Ogos lalu bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, lelaki tempatan berusia 33 tahun itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari semalam dan kini direman empat hari hingga Sabtu ini.

“Bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing telah menahan lelaki warga tempatan berusia 33 tahun, yang juga pengendali salah sebuah bot yang terlibat dalam kemalangan itu.
“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Tinggi untuk permohonan reman dan mahkamah membenarkan tahanan reman selama empat hari bermula hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkait kesalahan narkotik, namun ujian saringan air kencing mendapati dia negatif bahan terlarang.
Ab Rahaman berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan cuai dan Seksyen 280 Kanun Keseksaan kerana menjalankan perahuan dengan gopoh.
“Siasatan adalah selari dengan siasatan kes mati mengejut (SDR),” katanya.
Pada masa sama, Ab Rahaman menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung kejadian dan memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh.
Media kelmarin melaporkan, dua maut manakala tujuh penumpang cedera dalam kejadian dua bot bertembung berhampiran jeti Kuala Sungai Mersing, Mersing.





