Bakat baharu ‘kuasai’ ROTF di MAHA 2026

PENTAS Rhythm of the Farmers (ROTF) malam kelima Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 bertukar wajah apabila tiga bakat muda mengambil alih pentas menerusi ‘The New Era Night‘ di Perkampungan Bang Mat, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang malam tadi.

Zaki Yamani, Hussain dan kumpulan ALPHA tampil silih berganti bermula jam 9 malam, sekali gus membawa nafas baharu kepada acara hiburan yang menjadi antara tarikan pengunjung MAHA 2026.

GAMBAR: MARDI Corporation

Kehadiran Zaki, yang merupakan anak kepada legenda Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah, turut mencuri perhatian apabila penyanyi muda itu tampil memperlihatkan identiti tersendiri di pentas ROTF.

Tidak ketinggalan, Hussain dan ALPHA yang turut diberi peluang menghidangkan persembahan masing-masing, menjadikan malam kelima ROTF lebih sinonim dengan bakat generasi baharu.

Konsep tersebut dilihat memberi ruang kepada penyanyi dan kumpulan muda untuk mendekati khalayak yang lebih besar, khususnya pengunjung MAHA yang datang daripada pelbagai peringkat usia.

ROTF sebelum ini sudah menghidangkan persembahan daripada nama besar industri muzik tanah air termasuk Ratu Rock Negara, Ella selain Syamel, Dayang Nurfaizah dan Khalifah.

Pertukaran tema serta barisan penghibur pada setiap malam menjadikan ROTF tidak terikat kepada satu genre atau kelompok peminat, sebaliknya menawarkan pengalaman hiburan yang berbeza sepanjang MAHA berlangsung.

Penganjur, MARDI Corporation memaklumkan, kepelbagaian program hiburan itu disusun bagi memastikan pengunjung mempunyai lebih banyak pilihan pengisian ketika berada di MAHA 2026.

“Pelbagai pengisian hiburan disusun secara berterusan bagi meningkatkan keterlibatan pengunjung selain mewujudkan suasana lebih meriah sepanjang penganjuran MAHA,” katanya.

Selain persembahan artis, pengunjung turut dihiburkan dengan aksi buskers, aktiviti kebudayaan dan pelbagai pengisian santai di sekitar pentas ROTF.

ROTF dijadualkan menutup tirainya pada 6 September menerusi tema Soul Journey yang bakal menampilkan legenda rock tanah air, Ramli Sarip.

Persembahan khas malam penutup itu dijadual bermula pada jam 5.30 petang.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here