PERCUTIAN lima sekeluarga rakyat Malaysia di Indonesia bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya, manakala seorang lagi kritikal dan kini dirawat dalam keadaan separuh sedar di sebuah hospital di Jawa Barat.
Dalam kejadian Ahad lalu, Ahmad Tarmizi Hazmee, 30, anak kedua daripada enam beradik itu sedang memandu kenderaan membawa isteri, anak serta dua adiknya dari Yogyakarta (Jogja) menuju Jakarta untuk meneruskan perjalanan pulang ke Malaysia sebelum terbabit dalam kemalangan.
Ahli keluarga, Ahmad Bukhari Hazmee berkata, Ahmad Tarmizi baru sahaja mengambil alih pemanduan daripada adiknya, Adam Nublee Hazmee, 23, sebelum kemalangan itu berlaku.
“Kalau ikut kronologi, sebelum itu adik saya nombor lima iaitu Adam yang memandu. Lepas tu dia tukar dengan Ahmad Tarmizi untuk meneruskan pemanduan.
“Saya tidak tahu pasti kronologi kemalangan itu, tapi insiden itu mengorbankan adik bongsu saya, Muhammad Atiqullah Hazmee, 22, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM).
“Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Dunguswiru, Kecamatan Subang Kota, pada hari sama,” katanya, lapor Harian Metro.
Menurut Ahmad Bukhari, urusan pengebumian tersebut dibuat dengan pengetahuan Kedutaan Malaysia serta berdasarkan keterangan saksi-saksi yang terselamat.
Beliau memberitahu, ketika kejadian, Ahmad Tarmizi bersama isterinya, Nurfarrhana, dan anak mereka berusia enam tahun, selain dua adiknya berada dalam kenderaan jenis Toyota Avanza.
“Adik nombor lima Adam Nublee yang telefon saya sambil menangis maklumkan insiden itu. Ketika itu, dia sedang membantu Ahmad Tarmizi kerana darahnya mengalir dengan banyak. Jadi, saya tidak boleh tanya banyak dan kami cuba tenangkan dia dulu,” katanya.
Anak sulung daripada enam beradik itu berkata, Ahmad Tarmizi mengalami kecederaan serius termasuk patah pada rahang, kecederaan pada bahagian pipi, pendarahan di kepala serta patah lengan kanan.
“Setakat ini, dia (Ahmad Tarmizi) sudah menjalani satu pembedahan di sana. Pembedahan itu dilakukan pada Isnin lalu selepas doktor mengesahkan keadaannya stabil dan cukup kuat untuk menjalani pembedahan. Pembedahan itu berlangsung dari 8 pagi hingga 5 petang,” katanya lagi.
Katanya, Tarmizi kini masih menerima rawatan di Rumah Sakit Mitra Plumbon Subang dan berada dalam keadaan separa sedar.
Ahmad Bukhari berkata, keluarga memerlukan kira-kira RM50,000 bagi menampung kos rawatan, pembedahan dan hospital Ahmad Tarmizi di Indonesia sehingga dapat kembali ke Malaysia.
“Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank atas nama Ahmad Bukhari Hazmee, nombor akaun 503051552097 dengan catatan ‘Tarmizi’,” katanya.





