POLIS sedang menyiasat seorang pengawal keselamatan warga Nepal yang didakwa menghina Islam menerusi video yang dimuat naik dalam laman sosial.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintenden Jasni Zolpa berkata, pengawal keselamatan terbabit telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Jinjang untuk diambil keterangan.
“Polis menerima laporan berhubung kes itu daripada majikan pengawal keselamatan terbabit di Balai Polis Jinjang pada 31 Ogos lalu.
“Syarikat keselamatan yang menggajikan individu terbabit mengambil tindakan segera selepas dimaklumkan mengenai hantaran berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor BH.
Menurut Jasni, pihaknya sedang menunggu perintah penyiasatan (OTI) untuk tindakan lanjut.
Pengawal keselamatan terbabit sebelum ini mencetuskan kemarahan orang ramai selepas didakwa berterusan menyebarkan video di laman sosial yang menghina agama Islam dan Malaysia.
Menurut kenyataan tular yang dikaitkan dengan syarikat majikan terbabit, pihak berkenaan menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang proses siasatan.
Pada masa sama, tindakan akan diambil bagi membatalkan permit kerja pengawal keselamatan berkenaan serta menguruskan penghantarannya pulang ke negara asal.
Bagaimanapun, proses berkenaan tertakluk kepada prosedur serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan, termasuk Jabatan Imigresen.





