OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) enam individu membabitkan empat sekeluarga dan dua malim gunung yang dikhuatiri hilang selepas memasuki Gunung Trans Gerah di Gua Musang akan dimulakan esok dengan bantuan helikopter.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, helikopter akan digunakan bagi mengesan kesemua mangsa serta menjejak laluan yang dipercayai digunakan kumpulan pendaki terbabit.
“Helikopter itu dijadualkan diterbangkan dari Sungai Siput, Perak pada sebelah pagi. Ia akan melakukan tinjauan di beberapa lokasi yang disyaki lokasi mangsa berada.
“Kami sudah menubuhkan pasukan SAR dan operasi akan dimulakan esok,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor BH.
Media hari ini melaporkan, enam individu dikhuatiri hilang selepas memasuki kawasan hutan melalui Gunung Trans Gerah di Lojing, Gua Musang sejak 29 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan itu daripada ahli keluarga kumpulan berkenaan di Selangor selepas mereka gagal keluar dari hutan mengikut jadual pada Khamis lalu.
Menurut Choon Foo, semakan bersama Jabatan Perhutanan mendapati, hubungan terakhir menunjukkan kumpulan itu sudah berada di kawasan hutan Perak sebelum terputus hubungan.
Kumpulan pendaki itu memiliki permit memasuki hutan dan dijadualkan keluar melalui Pos Kemar di Gerik, Perak manakala polis di daerah Gua Musang bersiap sedia sekiranya menerima pengesahan bahawa mereka berada di kawasan Kelantan.
Sementara itu, Nor Hisham berkata, anggota JBPM kini sudah berada di kawasan sekitar Gerik yang sepatutnya menjadi laluan keluar kumpulan berkenaan.
“Pasukan itu akan berkumpul malam ini bagi merancang gerak kerja serta menentukan kawasan pencarian.
“Operasi ini turut dibantu kumpulan malim gunung yang sudah berada di lokasi bagi mengenal pasti dan menandakan kawasan yang dipercayai dilalui mangsa,” katanya.





