POLIS menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes amang seksual fizikal terhadap dua anak kandungnya berusia 16 dan 17 tahun.
Perbuatan terkutuk lelaki berusia 50 tahun itu terbongkar selepas pihak polis menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Md Sani Md Saleh berkata, suspek ditahan di Pasir Akar, Besut kira-kira jam 12.40 tengah malam tadi sejurus menerima laporan daripada mangsa.
”Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek tempatan itu mendapati dia negatif dadah.
”Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Besut untuk permohonan reman dan mahkamah membenarkan dia direman sehingga 12 September depan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
”Jika sabit kesalahan, suspek boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan juga boleh dihukum sebat.
”Pihak polis memandang serius setiap laporan mendedahkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak dan akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang terhadap mana-mana individu yang terlibat,” tegasnya.
Dalam pada itu, Md Sani turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh mendedahkan identiti mangsa.
”Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan keselamatan, privasi dan kebajikan mangsa sentiasa terpelihara serta tidak menjejaskan proses siasatan,” katanya.





