Dua kebakaran berasingan, bengkel dan rumah rosak

DUA kebakaran berasingan membabitkan sebuah bengkel di Parit Buntar dan sebuah rumah di Air Itam berlaku malam tadi dan awal pagi tadi, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, kejadian pertama membabitkan sebuah bengkel di Jalan Pekaka Indah 1, Parit Buntar, kira-kira jam 8.31 malam.

Beliau berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu.

“Kebakaran membabitkan keseluruhan premis, manakala dua kereta BMW turut rosak. Sebuah daripadanya terbakar kira-kira 70 peratus, manakala sebuah lagi kira-kira 30 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

John berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 8.49 malam dan dipadamkan sepenuhnya sebelum operasi ditamatkan pada jam 10.31 malam.

Katanya, pemilik bengkel dilaporkan selamat, manakala penghuni kedua-dua kenderaan turut tidak mengalami kecederaan.

Dalam kejadian kedua, beliau berkata sebuah rumah di Jalan Batu Perempuan, Air Itam, dilaporkan terbakar pada jam 1.57 pagi.

“Kebakaran memusnahkan kira-kira 55 peratus rumah kekal setingkat berkeluasan kira-kira 1,500 kaki persegi.

“Seorang penghuni, lelaki berusia 48 tahun, berjaya menyelamatkan diri sebelum ketibaan anggota bomba,” katanya.

Kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.22 pagi dan dipadamkan sepenuhnya sebelum operasi ditamatkan pada jam 3.57 pagi.

Beliau berkata, kedua-dua kes diserahkan kepada Pasukan Penyiasat Kebakaran JBPM untuk tindakan lanjut.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here