SEKUMPULAN samseng jalanan melarikan diri dengan meninggalkan motosikal di bawah jejambat selepas menyedari polis melaksanakan penutupan jalan di Lebuh Sentosa, Putrajaya, Sabtu lalu.
Operasi Bersepadu Samseng Jalanan itu digerakkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya membabitkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Unit Kereta Peronda Polis (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) serta Balai Polis Presint 7.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, operasi bermula kira-kira jam 11 malam.
“Semasa penutupan jalan dilaksanakan, sebanyak lima motosikal ditemukan ditinggalkan oleh penunggang di bawah jejambat Lebuh Wawasan sebelum kesemuanya dibawa ke balai untuk tindakan lanjut.
“Hasil operasi, sebanyak 14 kenderaan terdiri daripada 13 motosikal dan sebuah kereta disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, operasi turut menghasilkan 35 saman atas pelbagai kesalahan.
Katanya, operasi memberi tumpuan kepada pemeriksaan, rondaan dan pemantauan terhadap pengguna jalan raya serta kumpulan motosikal yang disyaki terbabit dalam aktiviti samseng jalanan dan lumba haram.
“Tindakan penguatkuasaan ini turut mengambil kira aduan masyarakat berkaitan gangguan bunyi bising dan aktiviti kumpulan motosikal (mat rempit) di sekitar Putrajaya,” katanya.
Tambahnya, selain aspek penguatkuasaan, operasi turut disusuli pengisian kerohanian melalui solat Subuh berjemaah serta sesi advokasi berkaitan bahaya lumba haram dan samseng jalanan.
“Pendekatan ini dilaksanakan sebagai usaha memberi kesedaran kepada masyarakat, khususnya golongan muda agar tidak terbabit dalam aktiviti yang boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.
Aidi Sham berkata, polis akan terus mempergiatkan tindakan penguatkuasaan bagi membendung aktiviti samseng jalanan, lumba haram serta gangguan bunyi bising yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.
“Kepada masyarakat, terus salurkan maklumat dan aduan kepada pihak berkuasa. Kerjasama anda amat penting dalam membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) membanteras aktiviti yang mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.





