POLIS merampas 182.39 kilogram (kg) dadah jenis MDMA bernilai kira-kira RM27.5 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Garden Homes, Seremban 2, semalam.
Serbuan itu turut menyaksikan seorang lelaki berusia 52 tahun yang dipercayai ketua sindiket berkenaan ditembak mati selepas bertindak melepaskan tembakan ke arah polis.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan kira-kira 1.30 petang itu dijalankan berdasarkan maklumat risikan berhubung kewujudan sebuah makmal memproses dadah jenis MDMA.
Menurutnya, suspek mempunyai enam rekod jenayah dan turut dikehendaki polis berkaitan kes penculikan.
“Suspek melepaskan tembakan ke arah polis terlebih dahulu sebelum polis membalas tembakan bagi mempertahankan diri.
“Suspek mengalami kecederaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban hari ini, lapor Sinar Harian.
Hussein berkata, pemeriksaan di rumah berkenaan menemukan 182.39kg MDMA selain peralatan memproses dadah.
Katanya, rumah teres yang disewa sejak kira-kira setahun lalu itu dipercayai dijadikan lokasi memproses dadah oleh sindiket terbabit.
“Suspek dipercayai ketua sindiket yang sangat aktif dan berbahaya, selain mempunyai senjata api serta kepakaran dalam bidang kimia.
“Dia dipercayai terbabit dalam kegiatan dadah sejak 1990-an dan pernah ditahan sebanyak tiga kali mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Dalam operasi sama, polis turut merampas sebuah revolver dan menyita tiga kenderaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan sindiket berkenaan.
Hussein berkata, dua lagi serbuan kemudian dijalankan di sebuah rumah di Seremban 2 dan sebuah kediaman di Kuchai Lama, Kuala Lumpur, membawa kepada penahanan dua individu tempatan, masing-masing wanita berusia 32 tahun dan lelaki berusia 35 tahun.
Menurutnya, kedua-dua suspek dipercayai anggota sindiket dan masing-masing mempunyai 12 serta 10 rekod jenayah.
“Mereka tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dan direman selama tujuh hari bermula 7 hingga 13 September bagi membantu siasatan.
“Polis percaya masih terdapat suspek lain yang terbabit dalam sindiket ini dan sebahagiannya dipercayai telah melarikan diri ke luar negara,” katanya.
Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Januari lalu dan menggunakan kawasan perumahan berkepadatan rendah sebagai lokasi memproses serta mengedar dadah.
“Bahan prekursor dipercayai dibawa masuk dari luar negara sebelum digunakan untuk memproses dadah bagi pasaran antarabangsa,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.





