Tragedi roller coaster: Laporan siasatan ambil masa tiga hingga empat bulan

SIASATAN kemalangan permainan roller coaster di sebuah taman tema di Subang Jaya dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hingga empat bulan untuk dilengkapkan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan ketika ini masih dijalankan, termasuk membabitkan aspek teknikal di lokasi kejadian.

“Berkaitan kes roller coaster, siasatan masih berjalan dan belum selesai.

“Dari aspek teknikal masih lagi dijalankan siasatan di tempat kejadian dan kami menjangkakan paling cepat, minimum nak lengkapkan siasatan mengambil masa antara tiga ke empat bulan… itu paling cepat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Beliau berkata, siasatan itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pasukan Forensik serta beberapa agensi lain.

Menurutnya, polis sudah mengambil banyak keterangan daripada petugas taman tema, petugas yang menguruskan permainan roller coaster, mangsa yang cedera dan tidak cedera serta pegawai perubatan.

“Insya-Allah akan ada lagi yang dirakam percakapan bagi membantu siasatan khususnya aspek teknikal,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seramai 10 pengunjung cedera dalam kemalangan permainan roller coaster di sebuah taman tema di Subang Jaya pada 22 Ogos lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, seramai 22 pengunjung termasuk pelancong asing berusia antara 11 hingga 44 tahun sedang menaiki permainan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat sebelum ini dilaporkan berkata, 10 mangsa mengalami kecederaan dan dibawa ke pusat perubatan sekitar Subang Jaya untuk mendapatkan rawatan.

“Semua mangsa hanya cedera ringan dan tiada kematian dilaporkan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Shazeli pada sidang media 27 Ogos lalu memaklumkan polis menyiasat elemen kecuaian dan sabotaj susulan kemalangan permainan roller coaster berkenaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here