Mekanik maut, dua parah kereta rempuh tiang elektrik

SEORANG mekanik berusia 19 tahun maut, manakala dua lagi cedera parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar tiang elektrik di Kilometer 7.6, Jalan Pedas-Kundur-Linggi, Rembau, jam 3.40 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Ngiam Ooi Ming berkata, mangsa bersama seorang wanita berusia 23 tahun menaiki Proton Wira yang dipandu seorang lelaki berusia 19 tahun dari sebuah kedai makan di Pedas menuju ke Kundur.

“Setiba di lokasi kejadian, kenderaan berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar tiang elektrik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pemandu serta wanita berkenaan turut cedera parah pada anggota badan sebelum dibawa ke Hospital Rembau untuk rawatan,” katanya.

Ngiam berkata, pemeriksaan awal mendapati keadaan jalan lurus, permukaan jalan kering dan rata serta kawasan kejadian mempunyai pencahayaan lampu jalan.

“Polis percaya kemalangan berpunca daripada kenderaan berkenaan yang hilang kawalan dan terbabas sendiri, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.

Beliau berkata, kenderaan itu dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Rembau untuk pemeriksaan lanjut sebelum dihantar ke Puspakom Seremban bagi penilaian kerosakan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here