MENTERI Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham Dr Ainul Baraah Kamaruddin dan mangsa lain yang maut dalam nahas helikopter terhempas di Sarawak, petang tadi.
Katanya, Allahyarham Dr Ainul adalah anak kelahiran Kota Bharu meninggal dunia ketika menjalankan amanah Doctor Service (FDS) untuk masyarakat pedalaman Sarawak.
‘’Mendapat pengesahan rasmi yang amat menyayat hati atas pemergian Allahyarhamah Dr Ainul Baraah Kamaruddin, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan, ketika menjalankan amanah menerusi perkhidmatan Flying Doctor Service (FDS) untuk masyarakat pedalaman Sarawak.
‘’Perginya ketika sedang berkhidmat, membawa rawatan dan harapan kepada mereka yang memerlukan. Kelantan kehilangan seorang anak yang telah mengabdikan ilmu dan khidmatnya jauh di pedalaman demi kemanusiaan.
‘’Salam takziah buat seluruh keluarga mangsa terlibat. Semoga Allah SWT merahmati Allahyarhamah, menerima segala khidmat baktinya sebagai amal soleh dan menempatkannya bersama para solihin,’’ katanya dalam kenyataan melalui Facebook.
Sebelum itu, media melaporkan, empat petugas kesihatan dan seorang juruterbang yang berada dalam helikopter BO-105 yang terhempas di Sarawak hari ini disahkan meninggal dunia.
Residen Miri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri, Galong Luang, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Borneo Post.
“Semua lima individu di dalam helikopter itu meninggal dunia, berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Kementerian Kesihatan,” katanya.
Selain Dr Ainul Baraah, empat mangsa lain dikenal pasti sebagai Kapten Zainol, penolong pegawai perubatan, Alexson Adit dan dua jururawat iaitu Debra Moset serta Jessie Paya.





